SPRM Puji Ketelusan Shafie Dalam Pentadbiran

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memuji ketelusan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam mentadbir negeri apabila bersedia menempatkan dua pegawai kanan agensi itu di Jabatan Ketua Menteri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, langkah tersebut amat baik dalam usaha mencegah salah guna kuasa selepas Mohd. Shafie juga sebelum ini melancarkan Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri 2019-2023.

“Usaha ini merupakan satu komiten yang tinggi ditunjukkan oleh Ketua Menteri, Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah merupakan negeri pertama melancarkan pelan sedemikian.

“Saya juga berharap semua agensi di bawah Kerajaan Negeri Sabah menyediakan Pelan Antirasuah Organisasi atau sebagaimana termaktub dalam Pelan Antirasuah Kebangsaan 2019-2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Sabah 2019 hari ini.

Latheefa berkata, bagi negeri Sabah, sepanjang tahun 2015 hingga 2019 sebanyak  2,318 aduan telah diterima SPRM membabitkan pelbagai salah laku.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak  411 orang yang terdiri daripada sektor awam, swasta serta orang awam telah ditangkap kerana melakukan kesalahan-kesalahan rasuah.

Beliau berkata, usaha membanteras rasuah perlu dilakukan selepas kajian oleh Global Financial Integrity Report 2017 menunjukkan bahawa antara tahun 2005-2014, Malaysia telah kehilangan RM1.8 trillion menerusi aliran kewangan tidak sah yang sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah.

“Selain itu, kajian oleh SPRM pula menunjukkan 63.3 peratus aduan yang diterima adalah melibatkan sektor awam menjadikan sektor awam yang paling terdedah kepada gejala rasuah di negara ini.

“Ini diburukkan lagi di mana hasil kajian oleh SPRM di antara tahun 2013-2018 menunjukkan bahawa 42.8 peratus aduan yang diterima oleh SPRM datangnya daripada sektor perolehan, 23.9 peratus penguatkuasaan manakala 8.6 peratus pelesenan dan permit menjadikan ketiga-tiga sektor ini sahaja telah menyumbang sebanyak 75.3 peratus jumlah aduan yang diterima oleh SPRM,” katanya

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *