Polis Semporna Tahan 4 Remaja Lelaki Disyaki Rogol Gadis Bisu, Pekak

SEMPORNA: Empat remaja berumur 14 tahun hingga 16 tahun ditahan selepas disyaki merogol seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) berumur 18 tahun di sebuah pondok di Jalan Kalumpang Pinang Palm Oil, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, seorang daripada suspek membuat panggilan video dan mempelawa mangsa untuk berjumpa di sebuah pondok yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah mangsa.

Beliau menjelaskan, selepas dipujuk mangsa yang bisu dan cacat pendengaran itu kemudiannya bersetuju bertemu suspek yang juga jiran mangsa di lokasi dijanjikan sebelum dirogol bergilir-gilir.

“Bapa mangsa bagaimanapun hanya menyedari anak gadisnya itu tiada di dalam biliknya kira-kira jam 2 pagi.

“Dia kemudiannya bertindak keluar mencarinya anaknya sebelum ditemukan berada berhampiran rumah ibu mentuanya tidak jauh dari rumah mereka,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sabarudin berkata, mangsa yang hanya boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat kemudiannya memaklumkan kejadian malang itu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Berikutan itu, polis mengesan dan menangkap semua suspek sebelum ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merogol.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *