Nelayan Hilang Ditemukan Terapung Di Pulau Berhala, Sandakan

Mayat nelayan yang ditemukan diusung naik sebelum diserah kepada pihak polis.

SANDAKAN: Nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di laut pada Isnin, akhirnya ditemukan lemas 9.40 pagi tadi pada jarak 1km dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa, Bintang Cahaya atau Armin, 28, ditemukan oleh nelayan pantai yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu pada jarak 1.9 nautika timur Pulau Berhala,  Sandakan.

Mayat nelayan yang ditemukan diusung naik sebelum diserah kepada pihak polis.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mangsa itu ditemukan pada hari ketiga SAR dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti zon Maritim Sandakan pada 10.15 pagi dan kemudian dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk pengecaman ahli keluarga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

”Pihak Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti nelayan yang terlibat sepanjang operasi SAR dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Operasi SAR itu melibatkan aset atau bot Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau juga menasihatkan komuniti maritim terutama nelayan agar sentiasa memberi perhatian kepada aspek keselamatan sepanjang berada di laut pada musim tengkujuh ini.

Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh berhubung dengan bilik operasi zon Maritim Sandakan di talian 089 229504 atau MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *