Ketua Menteri Lawat Mangsa Kebakaran Di Kampung Titingan

Tawau: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berharap pembangunan semula kawasan setinggan yang terbakar di Kampung Titingan, di sini, dapat dilakukan secara terancang dan tersusun.

Perkara itu disuarakan ketika beliau melawat 116 mangsa kebakaran, hari ini, yang kehilangan 21 buah rumah, pada Sabtu lalu.

Shafie menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.

Mohd Shafie berkata, beliau sudah memaklumkan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ir Amrullah Kamal untuk merancang penempatan di kawasan berkenaan.

“Jangan bina rumah secara tidak teratur kerana setiap rumah yang dibina perlu dibuat dengan baik dan adab.

“Apa yang penting, pembinaannya juga perlu menitik beratkan aspek keselamatan penduduk untuk jangka masa panjang,” katanya, pagi tadi.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib, Amrullah dan Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Tambah Mohd Shafie, masalah penempatan setinggan perlu ditangani dengan baik termasuk membabitkan pendawaian elektrik dan sebagainya.

“Ini termasuk aspek kebersihan yang mana ia boleh mempengaruhi cara hidup dan kesihatan penduduk setempat.

“Bagi saya, jika rumah kita bersih, kawasan persekitaran bersih, hati kita akan bersih sekali gus mempengaruhi akhlak kita seharian,” katanya.

Beliau berkata bantuan yang diberikan kerajaan adalah ‘bantuan kecil’ kerana apa yang penting penduduk perlu mempunyai inisiatif sendiri dalam penjagaan kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

“Saya berharap agar penduduk sekitar turun padang bagi menyertai gotong royong perdana yang akan diadakan pihak berkuasa tempatan di Kampung Titingan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie dan isteri turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit dan barang keperluan kepada semua 21 keluarga mangsa.

Berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 116 mangsa daripada 21 buah keluarga hilang tempat tinggal kediaman musnah dalam kebakaran tersebut.

Daripada jumlah itu, tujuh warga emas, 37 lelaki, 36 wanita dan 36 lagi kanak-kanak serta bayi.

Mangsa Faridah Umrah, 38, bersyukur kerana nasib mereka mendapat perhatian dari kerajaan negeri.

“Ketika ini, saya dan ibu mengambil keputusan untuk membina khemah sementara sebagai tempat tinggal sementara menunggu rumah siap,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *