PTI Ditangkap Edar Dadah Sekitar Lahad Datu

Suspek yang ditahan.

LAHAD DATU: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) yang disyaki tokan dadah diberkas dalam Op Kristal di Kampung (Kg) Puyut, di sini, kelmarin.

Operasi yang digerakkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu turut merampas dadah disyaki syabu anggaran berat 11.77 gram yang bernilai RM1,765.50 milik suspek.

Barang bukti kes yang dirampas.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, suspek yang berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri di kawasan jalan masuk kampung itu sebelum ditahan kira-kira jam 7.10 malam pada Sabtu.

“Dalam kejadian itu, anggota polis memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa polis membuat suspek terkejut dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis tetapi tindakan pantas polis berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Nasri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh suspek menjumpai satu paket lutsinar yang disimpan di poket belakang sebelah kiri seluar pendek berwarna biru yang dipakai suspek.

Pemeriksaan lanjut pada paket lutsinar itu mendapati terdapat empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu bersama 14 gulung kertas timah dianggarkan seberat 11.77 gram dan bernilai RM1,765.50.

Ujian saringan urin yang dilakukan mendapati suspek negatif dari sebarang dadah.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *