Penyelam Kutip Lebih 700KG Sampah Dari Dasar Laut Pulau Bum Bum

PENYELAM yang menyertai Program Voluntourism: Pembersihan Dasar Laut sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019, mengutip sampah di dasar laut kawasan Pulau Bum Bum.

SEMPORNA: Lebih 700 kilogram (kg) sisa buangan, termasuk tayar, besi buruk, plastik dan botol, berjaya dikutip dalam tempoh tujuh jam pelaksanaan aktiviti pembersihan sampah di dasar laut di Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Seramai 30 penyelam profesional tempatan dan antarabangsa menyertai program Voluntourism: Pembersihan Dasar Laut dari jam 8 pagi hingga 3 petang sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah serta Tourism Malaysia.

Sebahagian penyelam profesional yang menyertai Program Voluntourism: Pembersihan Dasar Laut sempena Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019, semalam. – Foto ihsan MOTAC

Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar, berkata program itu adalah usaha berterusan pihaknya dalam menyokong Kempen Sabah Bebas Sampah, Semporna Bersih dan Indah yang dilancarkan Ketua Menteri pada November tahun lalu.

Beliau berkata, aktiviti pembersihan membabitkan penyelam profesional secara sukarela itu dilihat dapat membantu memulihara hidupan dan ekosistem marin daripada ancaman kesan pencemaran sisa plastik di dasar laut.

“Plastik dan botol ialah antara sampah paling banyak dikutip melalui aktiviti pembersihan di dasar laut kali ini.

“Justeru, saya menasihati orang ramai di Semporna agar sama-sama memainkan peranan tidak membuang sampah, terutama plastik dan botol ke laut,” katanya.

Ahmad Zaki berkata, penganjuran aktiviti pembersihan seumpama itu berupaya membawa kesan kepada peningkatan kualiti hidupan marin di kawasan pulau di Semporna.

“Kita berharap pada masa depan, lebih banyak spesies dan hidupan marin bertambah di sekitar kawasan perairan di sini,” katanya.

Program itu turut mendapat kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna, Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), ND Divers, Uncle Chang dan Scuba Diving International (SDI).

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *