Update: Seorang Lagi Anak Mangsa Kemalangan Di New Zealand Meninggal Dunia

Afifah ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Ulu, Putatan. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU, 8 Dis: Seorang lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini.

Mangsa itu adalah Nur Irfan Adanan, 15, yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kejadian terbabit.

Lokasi kemalangan berlaku di mana pihak berkuasa membantu kesemua mangsa dalam kemalangan.

Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham Dr Rumihati, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.

“Ahli keluarga yang datang ke sana sempat bertemu arwah (Nur Irfan) sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana arwah memang kritikal selepas kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Ulu Putatan di sini hari ini.

Menurut Afifah, kesemua jenazah dijangka dikebumikan esok dan kini sedang dalam proses menunggu kebenaran untuk proses pengebumian di Christchurch.

Beliau berkata solat ghaib di sini untuk jenazah hanya akan dilakukan selepas semua urusan di New Zealand selesai.

Katanya, anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, mendapat rawatan di Hospital Wellington dilaporkan stabil dan kini ditemani ahli keluarga lain yang baru tiba tengah hari tadi waktu tempatan.

Jumaat lepas, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura pada 3.10 petang waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Wisma Putra yang turut mengesahkan berita itu berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan urusan pengebumian di negara itu berjalan lancar.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga dan kenalan mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *