Ketua Menteri Rasmi Saga IX 2019 Keningau

Perarakan oleh kesemua 27 kontinjen yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Saga IX pada kali ini. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Tirai penganjuran Kejohanan Sukan Sabah (Saga) IX dibuka secara rasminya hari ini dengan acara tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kompleks Sukan Keningau, malam tadi.

Meskipun hujan, namun kemeriahan tetap dirasai oleh penonton dan kira-kira 5,780 atlet daripada 27 daerah yang mengambil bahagian dalam kejohanan edisi kesembilan itu tahun ini.

Kontinjen Tawau berarak masuk sempena perasmian Kejohanan Saga IX. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Acara dimulakan dengan perbarisan masuk oleh kesemua kontinjen dan buat kali pertama menyaksikan penyertaan kontinjen Kalabakan yang baharu diisytiharkan sebagai daerah penuh tahun ini.

Secara tradisinya upacara menyalakan obor kejohanan dan lafaz ikrar diadakan selepas gimik perasmian disempurnakan menandakan bermulanya cabaran para atlet untuk bersaing bagi merebut sejumlah 582 pingat daripada 21 acara sukan dipertandingkan.

Mohd Shafie bersama beberapa menteri kabinet negeri semasa acara perasmian Saga IX. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata pendekatan Kementerian Belia dan Sukan Sabah memperluaskan skop pertandingan daripada peringkat enam zon pada peringkat awal penganjuran, kepada penyertaan 27 daerah merupakan satu langkah terbaik untuk memperluaskan proses pengenalpastian bakat.

“Malah, konsep penganjuran seperti ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada atlet-atlet remaja di luar bandar supaya boleh menyertai kejohanan di peringkat negeri tetapi juga memberi peluang dan pendedahan kepada pegawai sukan khususnya, jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir sukan dalam suasana penganjuran sukan sebenar,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sapar Untong dan Pegawai Daerah Keningau, Hassan Mahali.

Pertandingan Bola Jaring turut dimulakan hari ini. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Mohd Shafie berkata menyedari pentingnya sukan ke arah pembangunan modal insan kelas pertama, kerajaan Sabah akan terus membina prasarana sukan di peringkat daerah, bahagian dan negeri dalam usaha mewujudkan masyarakat berbudaya sukan.

“Saya berharap penganjuran Saga IX akan menjadi medan yang boleh mencungkil lebih ramai bakat muda untuk mengharumkan nama negeriini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Pertandingan Lawn Bowling bermula. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata perkembangan sukan di tanah air telah mewujudkan peluang-peluang kerjaya dalam bidang berkaitan kepada penduduk di luar bandar di negeri ini.

Menariknya bagi kejohanan dwitahunan itu kali ini melibatkan pemilihan venue di Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.

Sumber: SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *