200 Bot Pelancongan Semporna Bantu Promosi VM2020

SEMPORNA, 8 Dis: Kira-kira 200 bot pelancongan di Semporna terpilih bagi membantu mempromosikan kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020) kepada pelancong domestik serta antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pengangkutan seumpama itu julung kali diangkat sebagai antara medium mempromosi pelancongan negara.

“Bot merupakan salah satu pengangkutan penting di bahagian pantai timur Sabah termasuk Semporna, dan daerah ini menerima kemasukan 900,000 pelancong sejak awal tahun ini.

“Sebanyak 200 bot akan terlibat dengan penyerahan bendera VM2020 dan harapan saya dengan usahasama berkenaan, dapat mengangkat Sabah menjadi lokasi pelancongan unggul di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Setiausaha Politiknya, Abd Kusen Hussin, yang menyempurnakan acara penyerahan bendera kepada bot pelancong sempena kempen VM2020 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata di Semporna terdapat lebih 600 bot yang boleh digunakan sebagai medium pengangkutan mempromosi pelancongan negara.

Namun katanya, daripada jumlah itu, terdapat bot pelancongan yang masih perlu didaftarkan dan diberi lesen.

“Kita tidak boleh bagi logo sahaja, tetapi perlu disahkan sebabkan kita cadangkan ada buat training misalnya, baru ni kita buat kepada persatuan penyelam.

“Kita bagi persatuan ini certification dan mereka ini membantu dari segi pelancongan bagi mengenalpasti produk audit termasuk mengenalpasti tempat baharu yang boleh dibangunkan, selain menjadi mata dan telinga kepada agensi ada,” katanya lagi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *