Keluarga Mohon Jenazah Dr Rumihati Dan Suami Dikebumikan Di Christchurch

Allahyarhamah Dr Rumihati (tiga dari kiri) bersama rakan beliau semasa Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Sabah di Buhavon Square bulan lepas. Gambar SNT

KOTA KINABALU: Keluarga akan merayu agar jenazah Dr Rumihati Abd Hamid dan suaminya Adnan Jeman, 49, mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan kereta dan trak di Kaikoura, New Zealand, semalam dikebumikan di Christchurch.

Abang kepada Dr Rumihati, Othman berkata adik bongsunya itu ada memaklumkan bahawa mereka mahu melawat masjid di Christchurch yang menjadi sasaran pengganas pada Mac lalu.

Othman (tengah) di KLIA2 menanti penerbangan ke New Zealand petang tadi. Gambar SNT

“Sebelum bertolak ke New Zealand, Rumihati ada memaklumkan bahawa mereka mahu melawat masjid di Christchurch, tetapi tidak sempat melawat kawasan itu.

“Sebab itu kami bersetuju supaya arwah dapat dikebumikan di sana,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Othman yang juga pesara RTM berkata keluarga masih menunggu berita sebenar mengenai tiga anak perempuan mangsa daripada polis New Zealand.

“Kami tidak pasti keadaan salah seorang anaknya dan masih menunggu kepastian,” katanya sambil memberitahu Rumihati bersama keluarganya itu terbang ke New Zealand pada 2 Disember lalu, untuk bercuti.

Difahamkan, Othman bersama beberapa ahli keluarga bertolak ke Kuala Lumpur petang tadi sebelum menuju ke New Zealand.

Terdahulu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang membabitkan kereta dan trak pada jam 3.10 pagi waktu tempatan.

Laporan itu memberitahu, seorang individu kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *