Polis Tembak Mati 3 Pengedar Dadah Rampas Syabu Dan Senjata Api

Zaini (tengah) menunjukkan laras senapang buatan sendiri yang dirampas selepas menembak mati tiga lelaki disyaki pengedar dadah dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan hutan dekat Ladang Kaswel, Kampung Sinar jaya, Kinabatangan

KOTA KINABALU: Tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki pengedar dadah dan pembuat senjata api ditembak mati dalam dua kejadian berasingan di Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan awal pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dalam kejadian pertama, polis melancarkan Op Laras di dua lokasi di kampung itu pada pukul 2.30 pagi selepas menerima maklumat mengenai aktiviti suspek.

Pistol yang digunakan oleh suspek dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan hutan dekat Ladang Kaswel, Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan.

Katanya, operasi yang disertai 80 anggota polis itu menumpukan dua lokasi di kampung berkenaan secara serentak dan serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah yang dihuni tujuh sekeluarga yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Semasa melakukan pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, kedengaran bunyi sebuah motosikal datang menuju ke rumah tersebut,  bagaimanapun setelah tiba di rumah dan menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri sebelum dikejar di kawasan semak berhampiran rumah itu.

Senjata api dan barangan lain yang dirampas selepas menembak mati tiga lelaki disyaki pengedar dadah.

“Semasa dikejar, tiba-tiba suspek telah melepaskan satu das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan untuk tujuan mempertahankan diri dan menyebabkan suspek meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zaini berkata, hasil pemeriksaan di badan suspek menemukan satu laras senapang buatan sendiri warna hitam yang mengandungi satu kelonsong  dan enam butir peluru hidup serta 13 paket lutsinar berisi dadah disyaki syabu.

Senjata api dan barangan lain yang dirampas selepas menembak mati tiga lelaki disyaki pengedar dadah.

“Pemeriksaan terhadap rumah berkenaan juga menjumpai dua laras senapang angin, satu bilah parang dan empat butir peluru, satu paket dadah seberat 1.35 gram, satu alat penimbang elektronik serta 13 buah telefon bimbit,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Katanya, pada masa yang sama, pasukan operasi kedua turut melakukan serbuan di sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari rumah pertama.

“Semasa serbuan berkenaan suspek yang berada dalam rumah telah melepaskan beberapa das tembakan apabila menyedari kehadiran polis yang kemudiannya melepaskan tembakan dalam sehingga membunuh dua suspek.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek telah menjumpai dua pucuk senjata api jenis ‘Revolver Smith and Wesson 38’ dan satu pucuk pistol buatan sendiri.

“Antara yang turut dirampas bersama kedua-dua suspek berkenaan adalah wang tunai RM2,376, wang tunai mata wang Filipina 700 peso, sembilan bungkus plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 800 gram,” katanya.

Zaini berkata, antara lain yang turut di rampas ialah dua laras senapang angin buatan sendiri, beberapa komponen senjata api, tujuh butir peluruh senapang patah dan dua butir peluru pistol.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang maut itu berusia antara 30 dan 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan pembuatan senjata api.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *