WARISAN Sah Bertanding Di PRK Kimanis

Shafie (tengah) pada sidang media sebaik tiba dari lawatan kerja ke Jepun.

KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis masih menjadi tanya tanya apabila Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal tidak menyebut sebarang nama calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan.

Ketua Menteri ini  bagaimanapun mengesahkan memang calon Warisan yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis. Persefahaman telah dibuat untuk memutuskan perkara ini.

“Sudan tentu (calon Warisan), saya harap begitu. Saya fikir persefahaman telah dibuat dan kita juga sudah menyatakan bahawa kami (Warisan) yang membawa kes ini ke mahkamah,” katanya ketika ditanya mengenai calon PRK Parlimen Kimanis, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik sahaja tiba daripada lawatan kerja selama lima hari di Jepun.

Beliau juga mengingatkan sesiapa pun calon Warisan yang diletakkan untuk bertanding, calon itu haruslah seorang yang digemari rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, biarpun parti belum menetapkan siapa calon Warisan yang akan bertanding di Kimanis namun, calon itu mestilah calon yang boleh mewakili suara rakyat Kimanis.

Mengenai siapa calon yang akan bertanding, beliau berkata, calon akan diputuskan kemudian selepas mengetahui tarikh PRK Parlimen Kimanis.

Ditanya adakah Datuk Karim Bujang akan bertanding semula, Mohd Shafie berkata, kepimpinan parti belum memutuskan siapa calon.

“Kita akan melihat beberapa nama dan kita akan putuskan perkara itu apabila tiba masanya kerana saya perlu tahu tarikh pilihan raya terlebih dahulu.

“Apa yang penting buat masa sekarang, kita kena bersiap-siaga. Biarpun sebenarnya kita telah lama bersedia iaitu sejak kes ini dibawa ke mahkamah.

“Kita kena bersedia kerana dalam hidup kita tidak boleh memandang ringan dan terlalu yakin bahawa kita boleh menang.

“Kita harus mendekati sebanyak mana pengundi. Jangan bersikap angkuh dan sombong,” katanya.

Ditanya tentang pesaing terdekat Warisan, Mohd Shafie berkata, beliau tidak dapat menyatakan siapa calon yang kuat namun, dalam politik segala perkara tidak harus dipandang ringan walau siapa juga calon di pihak lawan.

PRK Kimanis diadakan setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Sabah untuk membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *