Sabah Warta Kawasan Seluas 25,000 Hektar Untuk Koridor Makanan Gajah

Christina bersama Pengerusi AseSG Vivek Menon (kanan) melawat gerai pameran sempena Mesyuarat IUCN ke-10 AseSG, di sini pada Khamis.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah mengenal pasti kawasan seluas 25,000 hektar di Hulu Kinabatangan untuk diwartakan sebagai Koridor Makanan Gajah selaras dengan hasrat mengurangkan konflik manusia-gajah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, kawasan itu akan mula ditanam dengan tumbuhan yang boleh dijadikan makanan gajah pada tahun hadapan.

“Buat masa ini, ia masih dalam peringkat perancangan dan menjelang Januari, kami akan memanggil pemegang taruh dan bermesyuarat bersama mereka untuk melihat tindakan seterusnya yang boleh diambil.

“Contohnya, kami akan mengenalpasti penduduk kampung yang menghuni kawasan sekitar sebelum memulakan langkah menanam tumbuhan untuk dijadikan makanan gajah.

“Ia melibatkan kawasan yang begitu luas dan jika dimanfaatkan sepenuhnya dan ditanam dengan makanan untuk gajah, ia diharap boleh menyediakan makanan mencukupi untuk gajah,” katanya semasa Sidang Media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat  Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa, Asian Elephant Specialist Group (AseSG), di sini hari ini.

Beliau, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar berkata, penyediaan koridor yang akan bertindak sebagai Santuari Gajah itu antara salah satu pendekatan yang akan diambil bagi mengurangkan konflik antara manusia dan gajah.

Selain koridor berkenaan, beberapa kawasan lain akan turut ditanam dengan tumbuhan yang boleh dijadikan santuari mahupun kawasan taman makanan untuk hidupan liar berkenaan.

Pendekatan menyediakan koridor makanan itu tepat pada masanya berikutan jumlah kematian gajah yang agak tinggi iaitu sejumlah 145 ekor yang direkodkan sejak 2010 hingga tahun ini.

Kemudian ditanya mengenai langkah menyerap Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) yang sehingga kini ditaja oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sebagai kakitangan tetap Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Christina berkata, beliau akan melihat keperluan itu kerana banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum menyerap mereka ke dalam jabatan.

Berkenaan perkembangan terbaharu kes kematian gajah yang diracun di sebuah ladang di Sukau pada 16 November lalu, Christina berkata, sampel kimia bangkai gajah itu telah dihantar ke makmal namun, keputusan ujian belum diperolehi.

Mengenai mesyuarat IUCN yang pertama kali diadakan di Sabah, beliau berkata, dengan adanya pakar-pakar gajah dari pelbagai negara, ia diharap dapat membantu Sabah mencari kaedah penyelesaian yang boleh mengatasi dan mengurangkan konflik antara manusia dan gajah.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini sahaja, 20 ekor gajah pygmy Borneo direkodkan mati akibat diburu, diracun, dijerat dan diperangkap.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *