Enam Sekeluarga Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Guru Wanita

Faujiah ditemani suaminya.

SEMPORNA, 5 Dis: Enam sekeluarga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru tadika wanita pada Oktober lalu.

Kinnau Ampong,62, bersama suaminya, Abd Wahab Saad,65, serta tiga anak mereka Elly Zurina, 40, Mohd Nasuha, 29, dan Mohd Nizam Afiq, 18, selain anak buah, Sufian Maizin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Faujiah Piong, 35, menggunakan senjata seperti kerusi di dalam kelas Tabika Kemas Kampug Sungai Buaya, Semporna, kira-kira 8 pagi pada 21 Okt lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 20 Jan tahun hadapan sebagai sebutan semula kes.

Dalam mahkamah sama, Mohd Nasuha, Mohd Nizam dan Sufian turut mengaku tidak bersalah di hadapan Amir Shah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Faujiah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi sama kejadian.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Amir Shah menetapkan ketiga-tiga mereka juga diikat jamin setiap seorang dengan RM1,000 dengan seorang penjamin selain sebutan semula kes juga pada 20 Jan depan.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Jamal Tampak manakala kesemua tertuduh diwakili seorang peguam yang enggan namanya didedahkan.

Selain itu, mangsa turut melantik Mohd Luqman Syazwan Zabidi sebagai peguam pemerhati sepanjang prosiding mahkamah.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *