UMNO Sabah Sedia Hadapi PRK Kimanis, Calon Sudah Dikenalpasti

Dato’ Sri Bung Moktar

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat, kata Pengerusi BN dan UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar.

Beliau berkata, PRK itu dilihat amat penting untuk BN/UMNO Sabah menguatkan jentera parti secara keseluruhannya dan meninjau maklum balas anggota akar umbi selain mendengar sebarang permasalahan yang dihadapi rakyat setempat.

“Kita sudah menjangka PRK akan berlaku di kawasan ini oleh itu usaha kita adalah bagi melicinkan lagi aturan gerak kerja yang akan dilakukan sepanjang PRK berkenaan walaupun sebelum ini kita sudah turun padang menemuai ahli dan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas persediaan BN dan UMNO Sabah bagi menghadapi PRK Kimanis.

PRK Parlimen Kimanis akan diadakan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah selepas mendapati Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam membuat penemuan fakta.

Mengikut Tengku Maimun dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf apabila mendapati terdapat banyak percanggahan dan tindakan yang tidak mematuhi undang-undang pilihan raya, yang akhirnya memberi kesan kepada hasil keputusan pilihan raya.

Pada PRU-14, 9 Mei tahun lalu, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Anifah memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dengan gerak kerja di kawasan ini yang dilakukan sebelum ini beliau yakin BN akan mempertahankan kerusinya di kawasan itu.

“Banyak isu yang kita perjelaskan kepada pengundi soal janji kerajaan, soal kos sara hidup yang tinggi, beberapa agenda pembangunan dan yang menarik untuk PRK kali ini adalah kuasa autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah yang akan diputuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO Disember ini,” katanya.

Ditanya soal calon yang bakal diletakkan dalam PRK kali ini Bung berkata ada beberapa individu sudah dikenal pasti dan bakal diumumkan kelak sebelum proses penamaan calon.

“Soal calon, kita sudah kenal pasti yang sudah tentu diterima oleh rakyat setempat apalagi dengan kuasa Atunomi UMNO Sabah kita akan pilih dan tentukan nanti,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *