Polis Penampang Perjelaskan Kontroversi Insiden Budak Jatuh Dari Bangunan

Mohd Haris Ibrahim

PENAMPANG: Pihak berkuasa polis menjelaskan salah faham penggunaan perkataan ‘membiarkan’, mengundang ketidakpuasan hati ibu kepada kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan di Jalan Bundusan, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kanak-kanak itu dibiarkan berjalan di jejantas bukanlah seolah-olah ibunya tiada bersama tetapi ketika itu tetapi ibu mangsa tidak memegang atau memimpin anaknya.

“Kita tidak mereka-reka cerita atau membuat cerita seolah-olah menyalahkan ibu kanak-kanak itu. Tetapi sebarang kenyataan yang dikeluarkan berdasarkan siasatan polis yang dijalankan di tempat kejadian.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu yang tular di media sosial, ibunya dilihat membiarkan mangsa berjalan di hadapan bersama kakaknya… itu yang saya kata ‘membiarkan’, tapi ia disalah anggap oleh keluarga mangsa lalu menyiarkan berita dalam akhbar sehingga mengundang kekeliruan,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ketidakpuasan hati ibu kepada kanak-kanak yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan di Jalan Bundusan di sini, Ahad lalu.

Ibu mangsa yang menyedari kejadian itu terus membawa mangsa ke Jesselton Medical Centre (JMC), Jalan Lintas, di sini sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang oleh pegawai berubatan yang bertugas di JMC.

Mengulas lanjut, Mohd Haris berkata berdasarkan rakaman CCTV itu juga ibu mangsa dilihat memegang telefon bimbit dibelakang anaknya tetapi tidak memegang mangsa dengan selamat untuk melalui jejantas di bangunan berkenaan.

“Selepas kenyataan ini, pihak polis berharap tidak timbul lagi kekeliruan dan saya secara peribadi ingin mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga kanak-kanak terbabit,” katanya.

Sementara itu beliau berkata siasatan masih diteruskan dan bedah siasat yang dijalankan kelmarin mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan impak kecederaan dalaman selepas terjatuh dari aras yang tinggi.

Mohd Haris berkata siasatan sedang disiapkan dan setakat ini kenyataan daripada ibu bapa mangsa belum dapat dirakam memandangkan mereka berada di Johor untuk proses pengebumian.

Katanya kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *