PETRONAS Sudah Bayar RM15.6 Bilion Kepada Sabah

Timbalan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

KUALA LUMPUR: PETRONAS sudah membuat bayaran hasil tunai petroleum sebanyak RM15.6 bilion kepada kerajaan Sabah, hingga 31 Disember lalu.

Timbalan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata jumlah itu berdasarkan bayaran lima peratus daripada hasil pengeluaran kasar petroleum yang disalurkan terus kepada kerajaan Sabah pada Februari dan Ogos setiap tahun.

Katanya, maklumat terperinci berhubung jumlah pengeluaran petroleum berkenaan disertakan bersama laporan pembayaran tunai kepada Kementerian Kewangan Sabah.

“Semua pengeluaran petroleum di negara ini dilakukan melalui `Production Sharing Contracts (PSC) bersama pelabur.

“Berdasarkan perjanjian PSC, pendapatan kasar keseluruhan untuk setiap PSC tertakluk kepada klausa `non-disclosure’ dan tidak harus didedahkan kepada umum,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jonathon Yasin (PH-Ranau) yang meminta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan sejak operasi PETRONAS bermula di Sabah pada 1976, berapa jumlah pendapatan kasar keseluruhan diperoleh syarikat itu dari sumber minyak dan gas serta berkaitan Petroleum di Sabah.

Ini meliputi sumber Petroleum dan gas yang diperoleh dalam lingkungan tiga batu nautika atau diukur tiga batu nautika dari pesisir pantai Sabah.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau) berhubung jumlah telaga minyak di Sabah, Mohd Radzi berkata, pengeluaran pada 2018 adalah sebanyak 358,000 tong minyak setara sehari.

“Pada 2017 pula sebanyak 424,000 tong sehari dan 338,000 tong sehari pada 2016,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *