Pelaburan RM100 Juta POIC Dengan Syarikat Jepun Ditandatangani

TOKYO, JEPUN: Misi pelaburan Sabah ke Jepun berjaya memuktamadkan perjanjian pelaburan sebanyak RM100 juta daripada Blue Capital Management Co. Ltd. (Blue Capital), sebuah syarikat berpangkalan di Tokyo yang terlibat dalam penggunaan tenaga biomass.

Pelaburan tersebut dimeterai melalui perjanjian yang ditandatangai antara Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Blue Capital dan syarikat tempatan, Blossom Bio Energy Sdn. Bhd. (BBE).

PANG TECK WAI

Perjanjian bersejarah itu disaksikan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Setiausa Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

POIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Dr. Pang Teck Wai manakala Blue Capital diwakili Pengerusinya, Hideo Harada dan BBE oleh Presidennya, Jeffery Lu.

Perjanjian tersebut adalah melibatkan sewaan tanah seluas dua hektar di POIC Lahad Datu selama 20 tahun bagi membolehkan BBE dan Blue Capital membina sebuah kilang memproses tenaga biomass daripada kernel sawit kosong (PKS) yang akan dieksport ke Jepun.

Sementara itu, Mohd. Shafie ketika ditemui selepas upacara menandatangani dokumen perjanjian itu berkata, kejayaan mendapatkan pelaburan itu amat bermakna untuk membangunkan ekonomi negeri melalui industri sawit dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya di Lahad Datu.

“Alhamdulillah salah satu yang kita lakukan dalam misi ke Jepun hari ini ialah perjanjian pelaburan dari Jepun, sudah pun ditandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat dari Jepun dan mereka akan meletakkan inisiatif syarikat mereka di POIC Lahad Datu serta akan mengambil masa perjanjian 20 tahun untuk membekalkan produk daripada kelapa sawit ke Jepun.

“Saya yakin ini merupakan satu usahasama yang akan membawa bukan hanya pelaburan bahkan juga peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di Lahad Datu, selepas itu tadi kita terus adakan pertemuan dengan satu syarikat lagi yang saya yakin juga dengan keupayaan mereka dalam bidang teknologi biomas, maka ini satu lagi inisiatif yang saya yakin boleh membawa kebaikan daripada kegunaan kelapa sawit negara,” katanya.

Sejak 2018 Blue Capital yang terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui mula menghasilkan sistem pengstoran tenaga (ESS) daripada biomas bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik.

Dengan adanya ESS, Blue Capital telah merancang membina tiga stesen janakuasa berkapasiti 50 megawatt di Hokkaido, Shizuoka dan Aichi, justeru memerlukan bekalan sebanyak 750,000 tan kernel sawit kosong setahun.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, misi pelaburan kali ini telah berjaya dengan penglibatan lebih 500 ahli perniagaan serta potensi pelabur dari Jepun, justeru selepas ini tindakan susulan perlu diambil untuk memastikan setiap pemadanan perniagaan yang dibuat dapat direalisasikan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan dasar-dasar terbaik bagi memastikan pelaburan yang masuk ke Sabah bukan sahaja dipermudahkan tetapi mampu bertahan untuk jangka panjang.

“Ini rancangan pembaharuan yang kita lakukan dan setiap misi kita buat ke luar negara, kita lihat bagaimana hasilnya, apa kesudahan lawatan itu bukan hanya kita keluarkan duit ke luar negara untuk bertemu dengan mereka tetapi kita mahu mengenal pasti apa kesudahan daripada lawatan itu biar memberi manfaat.

“Ada beberapa perkara yang perlu kita perhalusi daripada persoalan yang mereka bangkitkan tentang insentif yang perlu kita sediakan kerana mereka sebagai pelabur ingin melihat bahawa pelaburan itu bukan hanya membawa manfaat tetapi mampan kerana bagi pelaburan yang modalnya agak intensif, mereka hendak pastikan berpanjangan,” katanya.

Dalam pada itu, terdahulu pagi ini Mohd. Shafie turut meluangkan masa selama kira-kira 45 minit bermesyuarat dengan pengurusan kanan syarikat peruncitan terkemuka Jepun, Mitsui Corporation (Mitsui) yang mempunyai cawangan di banyak negara.

Tujuan mesyuarat itu adalah untuk membincangkan kesediaan Sabah menyediakan satu lokasi untuk Mitsui membuka cawangannya di negeri itu.

Sumber : BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *