Wanita Rugi RM1,000 Disamun ‘Pegawai Kesihatan’

TAWAU: Seorang wanita kerugian kira-kira RM1,000 selepas disamun sekumpulan tiga penjenayah yang menyamar sebagai pegawai kesihatan, di Batu 6, Jalan Apas, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa yang bersendirian di rumah didatangi tiga lelaki berpakaian seragam berwarna biru dan mendakwa sebagai pegawai Jabatan Kesihatan Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas

Difahamkan suspek memaklumkan mangsa bahawa mereka perlu menjalankan pemeriksaan jentik-jentik di dalam rumah.

Mangsa yang tidak mengesyaki sebarang muslihat bertindak membenarkan ketiga-tiga lelaki berkenaan masuk ke dalam rumah.

Sebaik berjaya masuk, suspek kemudiannya bertindak mengugut mangsa supaya mengikut arahan sebelum menggeledah rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika ditemui media mengesahkan kejadian itu.

Katanya kejadian berkenaan adalah yang kedua dilaporkan membabitkan kes menyamar sebagai penjawat awam dan melakukan jenayah di rumah.

“Suspek hanya melarikan barang berharga manakala mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami kini sedang mengesan suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an termasuk mendapatkan pengecaman menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan itu” katanya.

Jelas beliau lagi berdasarkan dua kejadian ini, modus operandi penjenayah adalah menyamar sebagai penjawat awam dan memaklumkan perlu melakukan pemeriksaan di dalam rumah.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang datang ke rumah untuk menawarkan sebarang perkhidmatan atau pemeriksaan.

“Orang ramai diminta menghungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau atau jabatan berkaitan bagi tujuan pengesahan aktiviti pemeriksaan yang dilakukan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *