Scoot Mulakan Penerbangan Ke Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 3 Dis: Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, memulakan penerbangan langsung bagi laluan baharu dari Singapura ke Kota Kinabalu hari ini, menjadikan ibu negeri Sabah itu sebagai destinasi kelapannya di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching , Langkawi dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Calvin Chan berkata penerbangan sulung tersebut membawa 178 penumpang dari Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada kira-kira 11.40 pagi.

Beliau berkata pihaknya gembira dapat menambah perkhidmatan harian ke Kota Kinabalu ke dalam rangkaiannya yang semakin berkembang di Malaysia, menghubungkan penumpang dari Sabah ke Singapura dan seterusnya ke lebih 60 destinasi di seluruh dunia.

“Kami berharap laluan ini akan melonjakkan pelancongan tempatan memandangkan Sabah banyak menawarkan destinasi pelancongan terutama pulau-pulaunya yang indah sehinggalah Gunung Kinabalu yang hebat,” katanya semasa taklimat media di sini, hari ini.

KKIA mencatatkan peningkatan 23 peratus bagi pergerakan penumpang untuk laluan Kota Kinabalu-Singapura dari Januari hingga Oktober 2019 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Kini, Scoot mengendalikan tujuh penerbangan mingguan secara terus antara Singapura dan Kota Kinabalu.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *