‘Di Sabah & Sarawak, Tatu Adalah Biasa’ – Leeroy Ting

Status entri Leeroy Ting tular di laman sosial.

KUALA LUMPUR – “Di Sabah dan Sarawak, tatu merupakan sesuatu yang biasa bahkan menjadi warisan budaya banyak etnik bumiputera.” Demikian ciap Leeroy Ting yang tular susulan bersetuju penganjuran Tattoo Malaysia Expo 2019 di sini.

Memuat naik status di entri Twitter, Leeroy juga mendedahkan seorang aktor kelahiran Malaysia, Henry Goldin daripada etnik Iban turut mempunyai tatu ‘Bunga Terung’.

“Kalau kamu tak bersetuju, tiada orang paksa kamu bawa anak-anak dan isteri pergi tengok pun,” ciapnya turut mendapat kecaman daripada netizen.

Leeroy juga memberitahu, ekspo tatu seperti itu sudah lama diadakan di Sarawak sejak dahulu lagi.

“Tiada masalah pun sebab orang Sabah dan Sarawak sedar kepelbagaian di negara ini lebih luas daripada halaman rumah kamu,” katanya.

Dia juga anak kelahiran Sarawak memuat naik beberapa keping poster memaparkan Sabah Tattoo Ekspo 2017.

“Ini dari Sabah. Siap konvensyen antarabangsa lagi yang memang melibatkan peminat dan pemilik tatu seantero dunia. Tak nampak kamu semua bising pun zaman tahun 2015/17.

“Atau toleransi untuk budaya Sabah dan Sarawak hanya diterima selagi tidak sampai dekat halaman rumah kamu?” ciapnya.

Bagaimanapun, rata-rata netizen mengecam tindakan pelayar itu kerana penganjuran di Kuala Lumpur berbeza dengan budaya yang diangkat di Sabah dan Sarawak.

“Event tatu nak buat kamu punya suka la tapi kalau sampai berbogel xxxxx apa tu,” kata @Norshafiq.

Kata @AqeedMikael, “Itu bukan pertunjukkan tatu, itu sudah macam ‘Thailand girl show’ atau lebih popular ‘tiger show’. Tiba pula buat kat sini, memang mendapat la.”

Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *