Anifah Kecewa Dengan Keputusan Mahkamah Persekutuan

Anifah Aman

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anifah Aman kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak semakan semula keputusan Mahkamah Pilihan Raya Sabah yang menafikan beliau sebagai Ahli Parlimen Kimanis. 

Katanya, beliau tidak terkejut dengan keputusan berkenaan. 

“Saya berada di mahkamah pada pagi ini dan terkejut apabila ternampak tiga ahli panel yang sebelum ini membenarkan Karim Bujang membuat rayuan pada 18 November 2018 juga adalah mereka yang menghakimi rayuan saya. 

“Oleh itu, penguam saya Haji Ansari Abdullah telah meminta agar tiga hakim berkenaan untuk dikecualikan daripada pendengaran kes rayuan saya. 

“Permintaan itu berdasarkan tiga perkara, pertama mereka sudah ada pada kes rayuan sebelum ini dan sudah pasti akan mewujudkan pendapat mengenai petisyen pilihan raya yang sama seterusnya bersifat tidak neutral. 

“Ianya tidak boleh berlaku kerana ianya tidak adil. 

“Kedua ialah sepatutnya tidak ada hakim Sabah akan menghakimi mana-mana petisyen pilihan raya yang difailkan di Sabah. 

“Ketiga adalah beberapa alasan rayuan pada hari ini berkaitan dengan keputusan yang dibuat oleh panel sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. 

Beliau berkata, walaupun terdapat alasan yang positif untuk dicatitkan keputusan sebelum ini, tetapi panel yang menghakimi rayuan pada 18 November 2018 sehingga kini tidak melakukan secara bertulis. 

“Oleh itu, saya tidak terkejut jika panel hari ini tidak akan memberikan alasan bertulis tentang penghakiman ini,” katanya. 

Katanya, walaupun beliau telah menang mengenai tuduhan yang dikenakan terhadapnya dan dianugerahkan kos berjumlah RM105,000, beliau telah memfailkan keputusan hari ini (semalam) untuk mempertahankan keputusan pengundi di Kimanis. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya kerana menyokong rayuan saya hari ini. 

“Saya akan balik ke Kimanis bagi membincangkan perkara ini dengan penyokong saya mengenai hala tuju selepas ini,” katanya. 

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *