Tiada Sebab Lagi Musa Aman Rayu Jadi Ketua Menteri

Datuk Douglas Lind

KOTA KINABALU:  Kuasa mengikut Perlembagaan yang ada pada Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk melantik Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 12 Mei tahun lalu adalah menepati undang-undang serta kes berkaitan Perlembagaan Perak pada 2009

Peguam Datuk Douglas Lind berkata, prinsip perundangan semasa pelantikan Mohd. Shafie menggantikan Tan Sri Musa Aman dijelaskan sepenuhnya berdasarkan prinsip undang-undang yang digunakan di Perak ketika itu apabila Almarhum Sultan Azlan Shah menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Kes Perak adalah rujukan terdahulu yang mesti dituruti oleh semua mahkamah di bawah Mahkamah Persekutuan, kecuali jika Mahkamah Persekutuan menukar keputusan, maka kes Perak adalah rujukan sekarang sama ada suka atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab untuk mempolitikkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Musa mencabar pemecatannya daripada jawatan itu di Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Tahun lalu, Musa telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar tindakan Yang Dipertua Sabah memecat beliau daripada jawatan berkenaan.

Douglas yang mewakili Mohd. Shafie dalam kes berkenaan berkata, kuasa Yang Dipertua Sabah bukanlah isu dalam pertikaian undang-undang seperti didakwa kem Musa.

“Isu sebenar adalah tafsiran terhadap Artikel 7(1) Perlembagaan Sabah selepas Musa hilang majoriti berikutan pengisytiharan keluar enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bsrisan Nasional (BN) pada 11 Mei 2018.

“Seperti diminta dalam artikel itu, Musa perlu meletak jawatan berserta Kabinetnya dan dianggap telah mengosongkan pejabatnya berdasarkan kes di Perak itu.

Dalam Artikel 7(1) bermaksud ia adalah mandatori untuk Musa meletakkan jawatannya serta Kabinet yang dilantiknya kerana Yang Dipertua Sabah mempunyai budi bicara dalam Artikel 10(2) Perlembagaan Sabah untuk melantik Mohd. Shafie di bawah Artikel 6(3) yang telah memiliki 35 sokongan majoriti.

Menurut Douglas, beliau telah memfailkan bantahan awal di Mahkamah Rayuan kerana keputusan kes tersebut akan bersifat akademik dan tidak menyebabkan kesan kepada situasi politik masa ini.

“Asas kepada hujah saya dalam bantahan awal itu ialah rayuan berkenaan telah bersifat akademik justeru, Musa tidak akan dapat menepati kehendak Artikel 6(3) Perlembagaan Sabah kerana jelas menyatakan Yang Dipertua Sabah telah melantik Ketua Menteri yang mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Tegasnya, Musa tidak akan mendapat sokongan majoriti kerana dijangka hanya mendapat sokongan lapan ADUN.

Tambahnya, walaupun Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan, secara matematiknya beliau tidak akan mendapat sokongan secukupnya.

“Itulah sebabnya kenapa rayuan berkenaan sudah bersifat akademik,” kata beliau.

Sementara itu katanya, beliau bersedia jika barisan peguam Musa memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, namun bergantung jika mereka mendapat kebenaran itu terlebih dahulu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *