Sokong Wujud Kemudahan Litar Sukan Bermotor Di Sabah

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sesi dialog program Townhall Belia Negeri Sabah di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, semalam

MEMBAKUT: Kementerian Belia dan Sukan bersedia menyokong keperluan kerajaan negeri untuk mewujudkan kemudahan litar sukan bermotor di Sabah.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ini kerana Sabah dan Sarawak masih belum memiliki kemudahan litar sukan bermotor.

“Keperluan litar sukan bermotor dibangkitkan oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

“Justeru, kita akan berurusan dengan kerajaan negeri (berhubung pembinaan litar itu) dan jika ada masalah, saya akan datang memberi sokongan,” katanya pada sidang media selepas Townhall Belia Negeri Sabah di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, di sini, semalam.

Syed Saddiq berkata, kementeriannya akan memberi penekanan khusus terhadap pembangunan infrastruktur sukan di negeri ini dan Sarawak.

“Tahun depan, ada penekanan khusus yang akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak, terutama negeri ini yang belum ada pembelaan sewajarnya dari segi pembangunan infrastruktur sukan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih banyak sesi libat urus akan diadakan di kawasan luar bandar untuk mendekati dan mengetahui keperluan rakyat pada peringkat akar umbi.

“Oleh itu, kementerian akan turun padang di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi mendengar permasalahan golongan anak muda serta menyalurkan maklumat sebanyak mungkin, khususnya berhubung aspek pekerjaan.

“Ini kerana isu peluang pekerjaan adalah penting dan kritikal dalam kalangan belia, termasuk di Sabah,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *