Shafie Cadang Toyota Buka Kilang Di Sabah

NAGOYA, JEPUN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mencadangkan syarikat automotif terkemuka Jepun, Toyota Motor Corporation (Toyota) agar membuka kilang pemasangan komponen kenderaan keluarannya di Sabah.

Ketua Menteri berkata, langkah tersebut bakal mengukuhkan pasaran Toyota di Borneo memandangkan ibu negara Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur manakala Sabah akan menerima manfaat peluang pekerjaan kepada rakyatnya serta limpahan ekonomi.

Beliau mencadangkan perkara tersebut dalam pertemuannya bersama beberapa peneraju industri automotif selepas menghadiri Seminar Peluang Perniagaan di Malaysia sempena misi pelaburannya di Nagoya, Jepun hari ini.

“Kita pun jadi pengguna kereta yang mereka keluarkan cuma kita perlu melihat apa potensi untuk kita manfaatkan kerana ada jenis kereta yang mereka eksport dan keluarkan diperlukan di negara kita, jadi untuk pastikan perkara ini mampan, kita cadangkan supaya kerjasama dengan mereka sama ada menerusi pemasangan atau kita jadi pembekal di Jepun, contohnya pacuan empat roda iaitu kereta yang diperlukan dalam suasana jalan raya di Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

“Insyallah saya yakin kita mempunyai potensi daripada segi lokasinya, pekerja yang ada saya yakin anak-anak kita yang mempunyai kebolehan dalam bidang-bidang ini dan kita boleh sediakan bukan hanya lokasi tidak jauh dari Jepun, sumber yang ada kita mempunyai kemampuan untuk menyediakan apa yang dapat membantu supaya mereka dapat juga dapat manfaat situasi menang-menang,” katanya ketika ditemui Borneo Today selepas pertemuan selama kira-kira 45 minit itu.

Selain pertemuan dengan wakil industri automotif, Mohd. Shafie turut mengadakan mesyuarat tertutup bersama WADA Aircraft Technology Co. Ltd., sebuah syarikat antarabangsa Jepun yang terlibat dalam industri aeroangkasa.

Terdahulu dalam seminar itu, Mohd. Shafie memberikan ucaptama dan mengadakan sesi soal jawab selama lebih sejam yang dihadiri 142 ahli perniagaan dan pelabur dari Jepun.

Menjawab satu soalan dikemukakan ahli perniagaan yang hadir, Ketua Menteri berkata, antara sektor yang menjadi pilihan Sabah untuk bekerjasama dengan syarikat dari Jepun adalah penghasilan perabot kerana negeri itu mempunyai sumber kayu-kayan yang cukup.

Katanya, Sabah bagaimanapun tidak lagi mengeksport balak, justeru syarikat-syarikat dari Jepun boleh membuka kilang di Sabah dengan jaminan kerajaan bahawa sumber kayu akan dibekalkan sepanjang masa mengikut permintaan.

“Saya percaya Jepun mengimport kayu getah dari Malaysia khasnya Sabah, kami ada 180,000 ekar tanah yang ditanam dengan pokok getah, kayu ini anda boleh hasilkan perabot dan jelas kami begitu dekat dengan industri anda tetapi saya berharap buka kilang di Sabah, kita boleh bekerjasama rapat dan buruh juga sudah tersedia,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berjanji kerajaan negeri akan memberikan segala kemudahan termasuk mempercepatkan kelulusan dalam tempoh 24 jam kepada mana-mana syarikat Jepun yang melabur di Sabah asalkan mereka telah menepati syarat-syarat ditetapkan.

“Kami ada polisi dan instrumen iaitu memberi kelulusan untuk apa sahaja pelaburan masuk ke Sabah dalam tempoh 24 jam asalkan anda menepati syarat seperti Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan keperluan lain,” tegasnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *