Ops Sarang: 54 Individu Ditahan Dalam Serbuan Di Kampung Bakau, Sembulan Dan Kawasan Sinsuran

Antara individu ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Sarang di Kota Kinabalu

REMAJA 13 TAHUN ANTARA 54 INDIVIDU DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN DADAH

KOTA KINABALU: Seramai 54 individu termasuk seorang remaja berusia 13 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Sarang selama seminggu yang berakhir kelmarin.

Semua suspek berusia 13 hingga 54 tahun itu ditahan di kawasan Kampung Bakau, Sembulan dan sekitar kawasan Sinsuran oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Suspek penagih dadah ditahan ketika cuba melarikan diri dalam Ops Sarang di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata dalam serbuan itu enam pengedar dadah berjaya ditahan manakala 11 lagi individu turut ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Katanya 36 individu lagi didapati positif dadah manakala seorang ditahan bagi Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

“Daripada 54 tangkapan itu, 40 suspek warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing.

“Sepanjang tempoh operasi itu, polis merampas 140.95 gram dadah jenis syabu dan 21.96 gram ketamine dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM24,435.50 mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Habibi berkata semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39B,  Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 3(1) akta yang sama.

Habibi berkata usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi dikenalpasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 atau WhatsApp ke akaun facebook page IPD Kota Kinabalu untuk tindakan segera.

Suspek penagih dadah ditahan ketika cuba melarikan diri dalam Ops Sarang di Kota Kinabalu.vv

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *