Mangsa Serangan Buaya Meninggal Dunia

KINABATANGAN: Selepas bertarung nyawa selama tiga hari akibat cedera diserang buaya di Sungai Kinabatangan, di Kampung Bilit, di sini, seorang nelayan meninggal dunia, semalam.

Mangsa, Roslin Kalan, 47, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, pada jam 3.20 pagi dipercayai akibat kecederaan parah di kaki.

Foto Ihsan Pembaca

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata kejadian pada jam 2.40 petang, 28 November lalu, ketika mangsa berada di pangkalan sungai berkenaan untuk memeriksa pukat dan pancing yang dipasangnya sebelum itu.

“Semasa sedang memeriksa pukat, kaki kanan mangsa tiba-tiba digigit buaya sebelum cuba ditarik oleh reptilia berkenaan ke dalam air.

“Namun, mangsa sempat melawan dan menendang buaya itu beberapa kali sehinggalah buaya itu melepaskan gigitannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Augustine berkata, mangsa yang terselamat terus naik ke tebing sungai sebelum meminta bantuan orang ramai.

Katanya, mangsa ditemui orang awam kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sukau.

“Mangsa sempat ditemubual oleh anggota JHL untuk mendapatkan maklumat lanjut sehari selepas kejadian.

“Namun, kami dimaklumkan mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HDOK, semalam,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *