Duit BMT Untuk Keluarga Sepupu Saya Urus Kebun – Madius

KOBE, JEPUN: Bayaran skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang diterima Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau tidak pernah digunakan untuk tujuan peribadi tetapi diserahkan kepada sepupunya yang menguruskan empat hektar kebun getah miliknya.

Menjelaskan perkara itu, Madius berkata, permohonan untuk skim itu juga dibuat oleh sepupunya, justeru beliau bersyukur kerana RM600 itu mampu membantu sepupunya dan setiap rakyat yang mengusahkan ladang getah serta telah membuat permohonan.

Ketika ditemui Borneo Today Madius menegaskan, beliau tidak pernah sesekali mengambil kesempatan daripada skim BMT seperti yang telah ditularkan pihak tertentu sehingga menyebabkan pelbagai kekeliruan.

Berikut penjelasan penuh beliau:

Berkenaan dengan BMT yang telah ditularkan melibatkan diri saya secara peribadi menerima bantuan ini, sememangnya saya memiliki kebun getah 10 ekar (empat hektar) keluasan dan sudah sekian lama diusahakan oleh sepupu saya, terutama sekali isteri sepupu saya.

Mereka sendiri berusaha untuk mendaftarkan, mendapatkan bantuan ini tanpa pengetahuan saya, barangkali isteri saya tahu.

Saya pun ucap terima kasih adanya skim ini tapi kesemua yang kami terima itu akan kita bagi balik kepada sepupu saya, malah saya sendiri memberi elaun kepada sepupu saya jaga kebun, setiap bulan sebenarnya.

Jadi saya ingin memberi penjelasan ini kerana banyak keliru tentang dasar ini dan juga melibatkan saya seolah-olah kita ambil kesempatan daripada skim ini, walaupun hanya melibatkan RM600.

Jadi inilah penjelasan saya, saya berharap ini dapat menjelaskan lagi keadaan yang sudah tular dan ramai sebenarnya yang telah salah anggap dan hubungi saya bertanya apakah ini benar.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *