Ops Bersepadu PPM Dan Jabatan Perikanan Rampas 200 KG Ikan Bom

Anggota PPM dan Jabatan Perikanan memeriksa ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan ketika ‘Ops Bersepadu Inter Agensi’ di pasar ikan Sinsuran Kota Kinabalu – Gambar PPM

PPM RAMPAS 200 KILOGRAM IKAN BOM

KOTA KINABALU: Pasukan Polis  Marin (PPM) merampas 200 kilogram ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan dalam ‘Ops Bersepadu Inter Agensi’ di Pasar Ikan Sinsuran, semalam.

Operasi bermula kira-kira pukul 6 petang hingga 9 malam itu dijalankan sepasukan PPM Kota Kinabalu dan Jabatan Perikanan Kota Kinabalu.

Anggota PPM dan Jabatan Perikanan memeriksa ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan ketika ‘Ops Bersepadu Inter Agensi’ di pasar ikan Sinsuran Kota Kinabalu – Gambar PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata sepanjang operasi itu sebanyak 10 meja peniaga ikan di pasar ikan berkenaan diperiksa.

“Hasilnya, sebanyak 200 ikan pelbagai jenis dirampas kerana dipercayai ditangkap dengan cara menggunakan bahan letupan.

“Kebanyakkan rampasan ikan mempunyai organ dalaman yang pecah dan cepat berbau busuk,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semua ikan dirampas bersama dua unit tong ikan dianggarkan bernilai RM4,200.

Dua unit tong berisi ikan disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan dirampas. – Gambar PPM

“Semua rampasan di bawa ke pejabat Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ilan dengan cara menggunakan bahan letupan.

“Sekiranya masyarakat mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan bom dan penjualan ikan bom boleh salurkan maklumat kepada balai polis yang berdekatan atau menghubungi PPM Kota Kinabalu di talian 088-243925,” katanya.

Organ dalam ikan yang diperiksa pecah dan cepat berbau busuk. – Gambar PPM

Sementara itu Mohamad Pajeri berkata objektif operasi berkenaan adalah memberi tumpuan terhadap peniaga-peniaga yang disyaki menjual ikan hasil daripada aktiviti pengeboman ikan di perairan negeri ini.

“Selain itu, mengesan dan menangkap individu yang menjual ikan bom dan seterusnya menyekat rantaian penjualan serta permintaan terhadap ikan bom di pasaran daerah ini,” ujarnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *