Isu Stateless Children Tiada Kaitan Soal Agama, Kerajaan Ambil Kira Hak Kemanusiaan – JPM

KOTA KINABALU: Isu kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah tidak berkaitan soal agama sebaliknya ia berkenaan dengan polisi dan tadbir urus kerajaan dalam membantu kebajikan kanak-kanak tersebut terutama dalam mendapatkan pendidikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata persoalan mengenai isu kanak-kanak tanpa warganegara ialah bagaimana kerajaan mencari jalan untuk mengatasi masalah itu dengan mengambil kira hak kemanusian.

Fuziah (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan dan warga UMS. – Gambar SNT/Ihsan UMS

Sehubungan itu katanya pendekatan rahmahtan lil alamin oleh kerajaan hari ini boleh diterapkan bagi menangani isu berkenaan kerana nilai perikemanusiaan tinggi menjadi asas dalam membantu kanak-kanak terbabit kerana mereka berhak memiliki masa depan lebih baik.

“Jadi bagaimana kerajaan mahu membangunkan dasar atau polisi daripada pemikiran rahmatan lil alamin sebab jika kita tidak ada rahmah kita akan halau mereka balik atau kita akan kata tak ada wang untuk biaya mereka belajar.

“Kalau kita ada pemikiran rahmah, kita akan berpegang kepada prinsip bahawa kanak-kanak stateless ini juga mempunyai hak untuk mendapat pendidikan,” katanya ketika mengulas mengenai isu kanak-kanak tanpa warganera yang dibangkitkan semasa sesi soal jawab Sesi Townhall di Univerisiti Malaysia Sabah (UMS).

Sesi Townhall Sempena Kembara Malaysia Rahmah peringkat negeri di Dewan Canselor UMS itu dianjurkan bersama oleh UMS dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Hadir sama ialah Naib Canselor UMS, Prof  Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bongsu Aziz Jaafar; Pengarah Yadim Zon Sabah, Samin Ongki dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin.

Dr Rahman Noordin (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Fuziah selepas Sesi Townhall di Dewan Canselor UMS. – Gambar SNT/Ihsan UMS

Fuziah berkata rakyat perlu membezakan di antara isu kewarganegaraan dengan pendidikan kerana pendidikan adalah bersifat kebajikan.

Dalam pada itu katanya isu stateless children yang dibangkitkan itu oleh pelajar UMS membuktikan mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu sosial terbabit yang wajar ditangani sebaik mungkin bagi mengelak implikasi sosio ekonomi negeri dan masyarakat.

Ini kerana beliau menambah perkara itu melibatkan hal kewarganegaraan dan kebajikan kanak-kanak yang wajar dibantu.

Terdahulu semasa mengadakan dialog bersama pelajar UMS pada sesi Townhall itu, Fuziah mahu mahasiswa menghayati dan mengamalkan konsep mahasiswa unggul sepanjang masa.

Katanya ini bagi memastikan mahasiswa mempunyai wawasan dan berfikiran kreatif dan mencipta inovasi untuk mempersiapkan diri ke masyarakat selepas menamatkan pengajian.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *