Remaja Berusia 13 Tahun Ditahan Cuba Jual Rokok Bernilai Lebih RM72 Ribu

Suspek berusia 13 tahun dan rokok yang dirampas di bawa ke Pangkalan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut. – Gambar Pasukan Polis Marin

SANDAKAN: Tindakan licik seorang remaja lelaki menyembunyikan rokok pelbagai jenama bernilai RM72,500 di dalam sebuah bilik berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Suspek berusia 13 tahun itu dilihat mencurigakan berhampiran bilik dipercayai tempat simpanan rokok di Blok HS-6 Jalan Pryer, jam 9.40 malam.

Antara rokok yang dirampas – Gambar Pasukan Polis Marin

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya yang sedang menjalankan tugas risikan bertindak menahan dan memeriksa suspek.

“Suspek kemudian diperiksa namun gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dengan dipandu arah suspek, kita turut menemukan 35 karton rokok jenama Astro Hijau, 15 karton rokok Astro Merah, 55 karton rokok jenama Era Biru, 10 karton rokok jenama LA, 20 karton rokok jenama Premium dan 10 karton rokok jenama Absolute di dalam sebuah bilik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Pajeri berkata semua rokok berkenaan dipercayai cuba dijual oleh suspek di kawasan berkenaan.

“Suspek ditahan manakala barangan dirampas dan disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana cuba memasarkan rokok tanpa membayar cukai.

“Semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan sebelum dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *