8 PATI Warga Filipina Ditahan Di Perairan Tawau

PATI warga Filipina ditahan Maritim Malaysia menerusi Ops Pluto Timur di kawasan perairan Kinabutan, Isnin lalu. – Gambar Ihsan Maritim Malaysia

TAWAU: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ops Pluto Timur di kawasan perairan Kinabutan di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 8.48 malam itu, mereka yang menaiki sebuah bot pam dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan bot peronda Maritim Malaysia di kawasan berkenaan.

PATI warga Filipina ditahan Maritim Malaysia menerusi Ops Pluto Timur di kawasan perairan Kinabutan, Isnin lalu. – Gambar Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam, berkata bot pam dengan nombor pendaftaran mencurigakan itu ditahan untuk pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati seorang juragan lelaki bersama tujuh penumpang membabitkan lima lelaki dan dua wanita masing-masing berusia antara 12 hingga 63 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita percaya mereka cuba menyusup keluar ke Filipina menggunakan laluan haram yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara barang yang turut dirampas – Gambar Ihsan Maritim Malaysia

Siva Kumar berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui satu tan baja jenis ammonium nitrat, 180 liter petrol dan tiga unit tong gas cecair petroleum (LPG) disyaki cuba diseludup dan dijual di negara jiran.

Katanya, semua suspek ditahan bersama barang rampasan termasuk bot pam dan tiga unit enjin dianggar bernilai RM14,000, sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Siva Kumar menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang perlanggaran undang-undang di laut, sekali gus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat dan terkawal.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau melalui talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *