Keletihan Punca Kehadiran Ahli Parlimen Kerajaan Sedikit

Datuk Johari Abdul 

KUALA LUMPUR: Keletihan dalam kalangan Ahli Parlimen yang terpaksa keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari, antara punca jumlah kehadiran wakil kerajaan tidak memberangsangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Jumlah Ahli Parlimen kerajaan yang sedikit itu hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apabila pembangkang meminta undi belah bahagi dibuat bagi mengundi RUU berkenaan.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul, menjelaskan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) juga terikat dengan program tertentu, menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat.

“Lazimnya dalam sesi kali ini kita balik lewat. Selalunya sampai rumah jam 12 tengah malam dan tidur jam 1 pagi, kemudian bangun awal pagi, jadi keletihan.

“Juga ada banyak program kementerian dan agensi lain pada hujung tahun. Kita ada jadual, ada yang ikut, ada yang tak dapat ikut tapi kita akan pastikan korum mencukupi.

“Kebanyakan mereka ada di dalam kawasan Parlimen, sama ada di surau, kafe atau mesyuarat di tingkat atas.

“Mungkin kita kena bincang dengan Speaker untuk lihat bagaimana Ahli Parlimen boleh dapat waktu berkualiti. Sekarang agak penat dan tidak produktif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Malam tadi, sidang Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah yang berlarutan lebih 20 minit antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika sesi undian belah bahagi dilakukan bagi meluluskan RUU Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikutan masalah korum.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian, apabila Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof, mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Tidak berpuas hati, pembangkang meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua, namun keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan, berbanding 28 tidak bersetuju.

Isu Dewan Rakyat tidak cukup korum, khususnya membabitkan Ahli Parlimen kerajaan, beberapa kali dibangkitkan pada sesi ini dan sesi lalu, hingga mendapat teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, sudah mendapatkan penjelasan daripada Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir ke Dewan Rakyat semalam, selain memberi mesej jelas kepada mereka, termasuk Menteri dan Timbalan Menteri, untuk hadir ke Dewan Rakyat jika tiada komitmen lain.

Beliau juga tidak melihat undi belah bahagi secara mengejut dilakukan pembangkang malam tadi sebagai isu besar, kerana PH juga melakukan perkara sama kepada Barisan Nasional (BN) ketika mereka masih pembangkang.

“Kita dapat agak ini akan berlaku apabila lihat beberapa wajah Ahli Parlimen BN yang kebiasaannya tiada pada waktu malam.

“Tindakan mereka menyasarkan penggulungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga boleh diagak kerana ia di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya.

RUU membabitkan kementerian itu malam tadi digulung oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *