Agong Berangkat Pulang Selepas Lawatan Dua Hari Ke Labuan

LABUAN, 27 NOV: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlepas pulang ke ibu negara hari ini selepas melakukan lawatan dua hari ke pusat perkhidmatan kewangan antarabangsa Labuan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di lapangan terbang disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan ketua jabatan serta agensi kerajaan.

Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan yang diberikan dan menzahirkan harapan agar perpaduan kaum terus dipelihara.

Ini adalah lawatan sulung Sultan Abdullah ke Labuan sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Dalam lawatan bermula pada Selasa, Seri Paduka menyempurnakan perasmian Kompleks Darul Kifayah dan menghadiri Majlis Rahmah Bersama Rakyat di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *