Polis Buru ‘Nick’ Bantu Siasatan Kes Pergaduhan Di Pusat Hiburan Di Lintas Plaza

Suspek ‘Nick’ diburu polis susulan insiden pergaduhan di pusat hiburan di Lintas Plaza, Kota Kinabalu. – Gambar Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Nick’ bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Lintas Plaza, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata lelaki berusia 28 tahun itu disyaki punca utama pergaduhan itu berlaku.

Habibi (tengah) bersama pegawai ketika menjalankan Ops Noda/Cantas/Tapis di lima pusat hiburan di Lintas Plaza, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Kita minta suspek terbabit tampil menyerah diri bagi memudahkan siasatan dijalankan.

“Polis juga sedang mengenal pasti beberapa lagi suspek lain yang dipercayai terbabit dalam insiden itu,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan Ops Noda/Cantas/Tapis di lima pusat hiburan di Lintas Plaza awal pagi tadi.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Insiden pergaduhan itu turut tular di Facebook (FB) hingga mengundang pelbagai komen negatif.

Habibi (kiri) memeriksa beberapa pengunjung di pusat hiburan di Lintas Plaza, Kota Kinabalu.. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Video berdurasi 1.37 saat itu memaparkan suspek ‘Nick’ bersama beberapa lelaki disyaki rakannya bertindak samseng dengan membaling botol kaca dan kerusi ke arah pelanggan lain.

Mereka turut memukul dan menendang beberapa pengunjung di pusat hiburan berkenaan.

Mengenai operasi itu, Habibi berkata, operasi bermula kira-kira pukul 12 tengah malam dan berakhir 3 pagi itu memeriksa lima pusat hiburan di kawasan Lintas Plaza.

“Pasukan serbuan memeriksa 103 orang iaitu 63 lelaki dan selebihnya adalah wanita. Tiada kegiatan jenayah dan orang dikehendaki.

“Seterusnya seramai 15 pelanggan menjalani saringan awal air kencing dan seorang lelaki ditahan kerana terbabit dengan kegiatan dadah,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *