Penduduk Kota Belud Gempar Lihat Fenomena Belalai Air

Fenomena belalai air sempat dirakam penduduk di perairan Kota Belud, semalam. Foto ihsan pembaca. Recqueal Raimi

KOTA BELUD: Penduduk di Kota Belud terutama yang tinggal berhampiran laut gempar apabila menyaksikan fenomena belalai air, semalam.

Fenomena selama 15 minit itu berlaku pada 1.30 tengah hari dan sempat dirakam penduduk sebelum ia makin mengecil dan hilang.

Fenomena belalai air sempat dirakam penduduk di perairan Kota Belud, semalam. Foto ihsan pembaca.

Penduduk Kampung Kuala Abai dikenali sebagai Nin, 28, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah dan hanya menyedarinya selepas terdengar penduduk lain memaklumkan mengenai fenomena terbabit.

“Ini kali pertama saya melihatnya dan mujur ia berlaku di tengah laut yang jauh dari kawasan kampung kerana jika dilihat ukuran panjang, ia seolah-olah mencecah ke permukaan air dari langit.

“Selepas 10 minit, ia mengecil dan kemudiannya hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemancing, Redzwan Abdullah, 33, berkata dia dan dua rakannya terpaksa berhenti memancing disebabkan bimbang kejadian buruk berlaku.

“Sebaik angin kencang berlaku, kami segera pulang ke jeti dan ketika dalam perjalanan, kami sempat menyaksikan belalai air itu.

“Itu adalah kali kedua saya melihatnya dan terus berpatah balik ke jeti kerana memikirkan keselamatan diri,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan kejadian itu.

“Bagaimanapun, gambar dan video tersebar di laman sosial dilihat sebagai fenomena cuaca biasa dipanggil awan corong.

“Awan berbentuk corong itu sebenarnya adalah titisan air di dalam pusaran udara. Apabila udara berpusar menaik, udara hangat menyejuk dan kondensasi wap air berlaku sebelum membentuk corong awan,” katanya.

Menurutnya, corong awan biasanya terbentuk daripada awan kumulonimbus atau kumulus dan tidak mencecah tanah manakala sebaik fenomena ini berlaku di atas permukaan air, ia dipanggil belalai air (waterspout).

“Biasanya, fenomena awan corong berlaku dalam masa singkat dan tidak berbahaya melainkan ia mencecah tanah.

“Bagaimanapun, orang ramai terutama nelayan dinasihatkan untuk menghindarinya kerana boleh menyebabkan berlakunya kejadian angin kencang,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *