Nikmati Keindahan Negeri Di Bawah Bayu

Keindahan Gunung Kinabalu dapat dilihat dengan jelas di Pekan Kundasang.

Perjalanan memenatkan tetapi menghiburkan sebaik sahaja tiba ke lokasi yang ditujui. Masakan tidak setiap lokasi hampir dua jam perjalanan, kadang kala lebih daripada itu.

Ditambah pula jalan yang bengkak-bengkok dan berbukit-bukau, pastinya kurang selesa apabila kita menaiki van dari Kota Kinabalu-Kota Belud-Kudat-Ranau-Kundasang dan berakhir di Kota Kinabalu semula.

Pengalaman ini dirasai penulis bersama beberapa rakan wartawan lain dari pelbagai syarikat yang menyertai Ekspresi Media Kinabalu 2019, anjuran bersama Tourism Malaysia dan Malaysia Airlines, baru-baru ini.

Pengunjung yang datang ke pantai Kampung Rempayan Laut diberi pengalaman untuk menunggang kuda.

Semuanya bermula sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 6 petang dengan setiap peserta terpaksa meredah kepekatan malam menuju Kampung Rampayan untuk menaiki bot bagi menyaksikan kelip-kelip seperti terdapat di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Penulis dan rakan kurang bernasib baik kerana ketika itu bulan purnama dan menyaksikan hanya beberapa kumpulan kecil kelip-kelip di situ. Menggunakan lampu khas, pembantu tekong berjaya menarik perhatian serangga kecil bercahaya itu mendekati bot kami.

Petugas media memakai pakaian tradisonal kaum Dusun bersedia untuk memetik daun teh.

Selepas sejam menikmati keindahan fenomena alam berkenaan, penulis dan rakan bergerak ke Cabana Retreat Kota Belud kira-kira lima minit perjalanan yang terletak di Jalan Rampayan Laut.

Kami disambut dengan tarian tradisional suku Bajau sebelum menikmati hidangan makan malam. Setiap kami pasti lega merehatkan keletihan perjalanan dengan bermalam di khemah mewah yang dipanggil ‘Glamping’.

Keesokannya selepas bersarapan, penulis dan rakan media diberi peluang untuk menunggang kuda di tepi pantai Kampung Rampayan.

Perjalanan diteruskan ke bengkel Pandian Sulaiman, seorang pakar dan guru tenunan destar atau tengkolok kepala suku Iranun untuk melihat kehalusan hasil kerja tangan masyarakat itu.

Pandian sempat menunjukkan aktiviti menenun destar, mengait dan cara pemakaian pakaian etnik Iranun.

Kami menyambung perjalanan ke Kampung Sumangkap bagi menyaksikan pembuatan gong oleh suku Rungus oleh penduduk kampung berkenaan selaras dengan usaha Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh kerajaan. Pengunjung juga diberi tunjuk ajar serta peluang untuk memalu gong, kulintangan dan canang.

Perjalanan diteruskan ke rumah panjang Kampung Tinangoi untuk melihat hasil tangan kerja manik suku Rungus, sebelum singgah di Homestay Misampuru, Kudat bagi menikmati makan tengah hari dihoskan Datuk Jeffrey atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Cobra.

Hidangan nasi Hinopot yang dimasak menggunakan beras merah Bario dan dimakan dengan ketam nipah berlada, masak lemak ayam, ikan kerisi goreng berlado serta pucuk ubi goreng begitu menyelerakan.

Ditambah pula air kelapa mawar muda segar dari ladang, sudah pasti dapat menghilangkan dahaga cuaca panas di Kudat.

Sebelah petang, penulis dan rakan berpeluang menyaksikan saat-saat matahari terbenam di Tanjung Simpang Mengayau yang diberikan jolokan ‘Tip of Borneo’ atau Hujung Borneo memandangkan kedudukannya paling utara di kepulauan Borneo, serta menginap di TSM Merrimas Villa.

Pagi-pagi lagi, hasrat penulis untuk melihat matahari terbit tidak kesampaian kerana kedudukan Tanjung Simpang Mengayau di belakang tanah tinggi hingga menyukarkan untuk mengesan kelibat matahari.

Hati teruja berpeluang memakai pakaian kaum Dusun bagi memetik sendiri daun teh ketika mengunjungi Sabah Teh Garden di Ranau.

Paling istimewa dijamu teh tarik pandan yang begitu menyelerakan serta beberapa produk berasaskan daun teh.

Malah, pengunjung juga diberi peluang menaiki rumah pokok atau ran untuk melihat keseluruhan ladang teh dari aras tinggi.

Sejam perjalanan, penulis singgah di Desa Cattle Dairy Farm di Kundasang untuk melihat operasi memerah susu lembu Friesian, malah dijamu yogurt segar. Kami menghabiskan masa hampir sejam untuk melihat lebih dekat lembu yang diimport dari New Zealand itu.

Kami kemudian bermalam di H Benjamin Residence yang terletak di 1,700 meter aras laut di Gunung Kinabalu. Bermalam pada suhu 10 Celsius amat mendinginkan hingga dua selimut tebal belum dapat menghilangkan rasa dingin hingga ke tulang.

Ketika menikmati ‘steamboat’ juadah makan malam, pengunjung dihiburkan dengan tarian sumazau Kadazan dan persembahan muzik suku Dusun, Walai Tokou Kundasang.

Pagi-pagi lagi kami sudah bangun dan terpampang kemegahan Gunung Kinabalu di depan mata. Pertukaran silih berganti cahaya matahari menyinari puncak gunung menyebabkan rakan media tidak sabar mengambil gambar saat indah berkenaan.

Kami meneruskan perjalanan ke Kundasang untuk merakam keindahan keseluruhan Gunung Kinabalu. Pemandangan yang begitu mengasyikkan.

Di Kampung Melangkap, kami sempat singgah meninjau Polumpung Melangkap View Camp Site (PMVCS) yang diusahakan penduduk kampung, Somboton Gunsalahon.

Tapak khemah yang pada asalnya tebing sungai, dikatakan rata ketika kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, beberapa tahun lalu, menyebabkan terjadinya banjir lumpur di kampung berkenaan.

Menariknya, air sungai yang dahulunya berarus lesu, kini deras dan berbatu, sekali gus sesuai untuk berkhemah pada hujung minggu.

Selepas itu, kami singgah di D’Place Kinabalu untuk menikmati makanan tradisional kaum Kadazandusun, Bento yang juga nasi Hinopot yang dimasak menggunakan beras Bario merah.

Kami teruja apabila dipelawa menikmati menu istimewa, Sushi Butod yang dihasilkan dari ulat sagu, dimakan dengan sambal belacan, meleleh air liur. Rombongan media kemudian menginap di Toojou Social Hostel di Kota Kinabalu.

Makanan tradisional kaum Kadazandusun, Sushi Butod yang diperbuat daripada ulat sagu.

Di sini kami mengadakan perbincangan mengenai ekspedisi berkenaan dengan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian serta Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Mohmed Razip Hassan.

Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malaysia Airlines, kami sempat singgah di Pillars of Sabah yang menempatkan tiang bangunan lama di mana setiap daripada dilukis 30 imej spesies haiwan terancam serta hampir pupus oleh pelukis tempatan.

Tidak lengkap kunjungan anda kalau tidak singgah di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (Pasar Filipina) untuk membeli buah tangan dan cenderamata di situ. Sudah pasti produk berasaskan mutiara, manik, batik dan hasil laut begitu banyak dijual di situ menarik perhatian pengunjung untuk membelinya.

Kami sempat singgah ke Perpustakaan Negeri Sabah sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *