JHL Sabah Berhasrat Awet Bangkai Iman

KOTA KINABALU, 24 Nov: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah berhasrat untuk mengawet bangkai Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia yang mati petang semalam, selain bercadang untuk menyerahkan bangkai berkenaan kepada pihak Muzium Negeri Sabah.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata bangkai Iman pada ketika ini masih berada di Santuari Badak Borneo di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

AUGUSTINE TUUGA

“Kita akan cuba mengawet (bangkai badak sumbu itu) dan saya bercadang untuk menyerahkannya kepada Muzium Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Iman diselamatkan pada 2014 di Lembah Danum, Lahad Datu dan ia dianggarkan berusia 25 tahun.

Malaysia kehilangan satu-satunya badak sumbu Sumatera betina apabila Iman disahkan mati pada 5.35 petang semalam dan berita sedih mengenai kematian itu diumumkan JHL Sabah dalam satu kenyataan media.

Kematian Iman adalah secara semula jadi dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

Tuuga berkata langkah melakukan pengawetan bangkai badak sumbu itu bertujuan membolehkan haiwan mamalia tersebut dipamerkan di Muzium Sabah bagi memberi pengetahuan kepada orang ramai tentang kewujudan spesies berkenaan di Malaysia khususnya di negeri ini.

“Kita mahu memperlihatkan bahawa kita pernah ada spesies ini di Malaysia. Kita mahu memberitahu bahawa kita ada spesies ini dan inilah spesies terakhir,” katanya.

Beliau berkata langkah mengawet bangkai Iman juga adalah sama seperti dilakukan terhadap bangkai Tam, badak sumbu jantan terakhir Malaysia yang mati pada Mei lalu akibat kegagalan jantung dan paru-paru.

Pada Okt lepas, bangkai badak sumbu Sumatera jantan yang telah diawet itu dipamerkan di Muzium Sabah sempena Pameran Khas Dirgahayu Yang Dipertua Negeri Sabah dan pameran ‘Tam: Badak Jantan Terakhir’.

Orang ramai berpeluang melihat secara dekat hidupan liar tersebut yang diletakkan di satu sudut khas di muzium itu dengan dilengkapi maklumat bergambar serta video mengenai semua badak yang pernah ditemui di hutan Sabah.

Mengulas lanjut mengenai Iman, Tuuga berkata, sel-sel telur badak sumbu betina berkenaan masih diawet dan jabatannya masih mempunyai perancangan untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan Indonesia sama ada menerusi prosedur persenyawaan in vitro atau dari segi kerjasama teknikal.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dalam kenyataan berkata kematian Iman berlaku lebih awal dan berita itu amat menyedihkan.

Liew berkata Iman diberi penjagaan dan perhatian terbaik sejak ia ditangkap pada Mac 2014 sehinggalah haiwan itu mati  dan Iman sebenarnya hampir mati apabila beberapa kali kehilangan banyak darah akibat ketumbuhan atau tumor pada uterusnya beberapa tahun lalu.

Pasukan di Tabin memberikan sokongan intensif sepanjang masa serta berjaya memulihkan tahap kesihatannya selain menghasilkan sel telur beberapa kali.

Sabah turut berharap ia masih dapat memanfaatkan beberapa sel telur daripada Iman bagi cadangan kerjasama Malaysia-Indonesia mengenai spesies tersebut, katanya.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *