Dukacita Diumumkan… Iman, Si Badak Sumbu Sumatera Terakhir Di Malaysia, Sudah Tiada!

Iman sebelum ini disahkan menderita akibat masalah ketumbuhan pada uterus badak sumbu berkenaan yang dikesan sejak bulan Mac 2014. – Jabatan Hidupan Liar Sabah

KOTA KINABALU: Selepas menderita penyakit kronik sejak lima tahun lalu, badak sumbu Sumatera terakhir, Iman dilaporkan mati pada jam 5.35 petang hari ini.

Berita kematian itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan medianya.

Beliau berkata, Iman sebelum ini disahkan menderita akibat masalah ketumbuhan pada uterus badak sumbu berkenaan yang dikesan sejak bulan Mac 2014.

“Meskipun mengetahui (kematian) ini akan terjadi dengan cepat atau lambat, kita amat sedih dengan berita pemergiannya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sudah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan Iman sebelum ini.

Ia termasuklah menyediakan jagaan terbaik di Borneo Rhino Sanctuary, Lahad Datu, sebelum badak sumbu itu dilaporkan menderita penyakit kanser di bahagian uterus.

Untuk rekod, badak betina itu merupakan satu-satunya spesis badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia selepas pasangannya yang dikenali sebagai Tam mati pada 27 Mei lalu, akibat uzur dan kegagalan organ dalaman.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya sudah menjangkakan kematian Iman memandangkan badak tersebut dikesan kesakitannya akibat kanser yang semakin merebak sejak kebelakangan ini.

“Ia dikesan menderita kerana kesakitan apabila kanser tersebut merebak ke bahagian pundi kencingnya.

“Pihak vertinari telah mencadangkan semalam supaya menggunakan morfin untuk mengurangkan kesakitannya apabila ubat penahan sakit dilihat tidak berkesan lagi,” katanya.

Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *