Adira Tidak Jadi Cerai

KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira Suhaimi, 28, kini dalam proses menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red selepas pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat pada 9 Oktober lalu untuk perbicaraan permohonan cerai.

Menurut penyanyi lagu Pujaan Hati itu, dia memberi peluang sekali lagi kepada suaminya dan cuba berbaik demi anak-anak.

“Saya dalam proses untuk menarik balik permohonan cerai dan saya berikan suami saya peluang sekali lagi. Harap, dia akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adira, dia tidak meletakkan sebarang syarat atau perjanjian dengan suaminya sejak kembali berbaik seminggu lalu.

“Saya tak letakkan apa-apa syarat. Cuma, selagi saya boleh bersabar, saya akan bersabar. Namun, sabar manusia ada hadnya dan harapnya, dia tidak melangkaui had itu,” katanya.

Tambahnya lagi, dia membuat keputusan selepas berfikir panjang dan tidak mahu terlalu pentingkan diri sendiri.

“Saya buat keputusan ini kerana saya dah berfikir panjang dan paling penting, adalah anak-anak. Apa yang saya belajar, kita sebagai manusia tak boleh membuat keputusan secara terburu-buru dan pentingkan diri kita sahaja.

“Saya harap, semua dapat doakan yang baik untuk suami dan anak-anak saya,” katanya.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, Asan dan Anggun.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *