Pengisytiharan Harta: Motosikal Bernilai RM9,388… “Memang Itu Sahaja Aset Saya” – Mohamaddin Ketapi

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

SEPANG: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, mengesahkan pengisytiharan aset miliknya yang bernilai RM9,388 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah benar.

Beliau berkata, aset terbabit iaitu sebuah motosikal, memang didaftarkan atas namanya.

“Gaji saya hanyalah kira-kira RM14,000. Pada umur saya ini, saya hanya mahu menyimpan duit dan saya tidak mahu membeli sebarang harta. Ia hanya akan membuatkan saya pening kepala dan saya tidak mahu memikirkan mengenainya.

“Saya tidak mempunyai duit yang banyak untuk membeli harta, saya hanya simpan duit, dan apabila saya meninggal dunia, boleh diserahkan kepada isteri dan anak saya.

“Adakah terlalu serius (pengisytiharan aset yang hanya bernilai RM9,388)? Saya tunaikan tanggungjawab membayar cukai kepada kerajaan dan negara. Kalau tidak bayar cukai, itu jadi perkara serius,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita hari ini bahawa pada Disember tahun lalu, Mohamaddin tidak mengisytiharkan sebarang aset kepada SPRM tetapi semakan terkini mendapati beliau mengisytiharkan jumlah asetnya adalah RM9,388.

Diminta mengesahkan sama ada beliau memang benar-benar tidak memiliki kereta, rumah atau hartanah beliau menjawab ringkas, ‘tidak’.

“Rumah? Saya tiada. Semua milik isteri saya. Di bawah nama dia. Saya tidak mempunyai kereta, saya ada pemandu yang disediakan kerajaan. Saya tidak memandu sendiri. Jalan di Kuala Lumpur pun saya tidak tahu, kenapa saya perlu memandu?

“Tiada penipuan. Jika memang harta itu bukan di bawah nama saya, ia bukan aset saya,” katanya selepas menghadiri majlis penerimaan pesawat terbaru milik AirAsia, A321neo di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan isu rombakan Kabinet tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Ditanya sama ada yakin akan terus diberi mandat menerajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, beliau berkata sama ada terus kekal atau tidak bukan di bawah bidang kuasanya.

“Saya tidak ambil peduli (mengenai perkara itu). Jika diminta kekal, saya akan kekal (di sini). Jika tidak, ia bukan kuasa saya untuk mengatakan saya mesti (kekal) di sini (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) untuk selamanya,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *