Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kemalangan Maut Di Bandar Tawau

Kenderaan Suspek

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kemalangan di Jalan Ho Hwang Kim di sini semalam yang menyebabkan seorang suri rumah maut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, lelaki berumur 38 tahun itu dan merupakan pemandu sebuah pacuan empat roda ditahan atas siasatan di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak memandu dalam keadaan mabuk, bagaimanapun, suspek ditahan polis bagi siasatan lanjut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi semalam, mangsa Sitti Harna Ismail, 65, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau, dua jam kemudian.

Sebelum kejadian mangsa bersama suaminya  dari arah Kampung Jawa menuju ke bandar sebelum berhenti di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya turun dan pergi ke kedai berhampiran manakala suaminya menunggu di dalam kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Dalam masa sama sebuah kenderaan dipandu suspek bersama keluarga turut tiba di lokasi dan berhenti di bulatan untuk memberi laluan kepada lori dihadapannya untuk bergerak.

Kemudian, lelaki berkenaan meneruskan perjalanan tanpa menyedari kehadiran mangsa di situ menyebabkan rempuhan berlaku sebelum wanita itu terjatuh dan digilis kenderaannya.

Suspek mendakwa hanya mengetahui kejadian itu apabila terdengar jeritan orang ramai sebelum mendapati mangsa berada di bawah kenderaannya.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sana.

Sehubungan itu, Peter menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil bagi membantu polis menjalankan siasatan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *