Tiada Lagi Amalan Ketua Menteri ‘Control’ Peruntukan – Masiung Banah

KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2020 yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal Jumaat lalu mencipta sejarah tersendiri kerana tidak lagi berlaku pemusatan kuasa dan monopoli peruntukan kepada Kementerian Kewangan atau Jabatan Ketua Menteri (JKM) sahaja seperti yang diamalkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Mohd. Shafie merangkap Menteri Kewangan sebaliknya telah memperkasakan setiap kementerian yang ada dengan tambahan peruntukan lebih tinggi agar setiap kementerian itu dapat memikul tanggungjawab bersama membangunkan Sabah.

Katanya, Belanjawan 2020 juga adalah salah satu cara Ketua Menteri mahu memastikan aagr setiap pemimpin sama ada menteri atau pemimpin masyarakat termasuk di peringkat pejabat daerah dapat melaksanakan arahan yang telah diberikan.

“Saya dapat membaca dan memikirkan bahawa Ketua Menteri mengurangkan pemusatan kuasa di Kementerian Kewangan dan JKM, beliau merupakan seorang Ketua Menteri yang menurunkan kuasa kepada menteri-menteri, beliau memperkasakan menteri-menteri ini, kementerian-kementerian ini sebab itu ada kenaikan peruntukan.

‘Yang kedua, saya perhatikan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan membaca setiap bait perkataan sehingga angka-angka bukan sahaja ratusan juta, puluhan juta tetapi setiap sen peruntukan kepada kementerian, kepada jabatan, agensi-agensi dan juga pejabat daerah disentuhnya,” katanya ketika membahaskan belanjawan itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Masiung berkata, berikutan itu, setiap menteri yang bertanggungjawab perlu menunaikan hasrat Ketua Menteri itu dengan memastikan peruntukan yang disediakan dibelanjakan sehingga ke peringkat akar umbi agar dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

Katanya, sama ada pemimpin itu mempunyai kedudukan dalam kerajaan atau parti sekali pun, tanggungjawab kepada rakyat harus diutamakan kerana perkhidmatan mereka dinilai sepanjang masa.

“Sebab itu saya ingin ingatkan kepada menteri-menteri, amanah telah diberikan oleh Ketua Menteri, peruntukan telah diberikan kita mahu peruntukan itu tolong belanjakan sehingga ke akar umbi.

“Demikian juga jabatan-jabatan, pegawai-pegawai daerah tolong belanjakan kerana kerajaan bukan sahaja dipantau oleh Ketua Menteri, tetapi rakyat juga memantau ketika ini,” tegasnya.

Tambah beliau, setiap menteri tidak perlulah mengejar populariti sehingga sibuk berswafoto dengan rakyat kerana tugas mereka adalah untuk menjaga kebajikan rakyat bukannya berswafoto tetapi tiada faedah diterima.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *