7 Calon SPM Rogol Pelajar Tingkatan Dua, Ibu Bapa Tidak Tarik Laporan

Gambar Hiasan

TAWAU: Polis menafikan penjaga kepada pelajar Tingkatan Dua yang menjadi mangsa rogol tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah di Tawau, menarik balik laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi berkata, setakat ini, tiada pihak atau mana-mana individu yang tampil berbuat demikian.

Beliau juga menegaskan, polis tetap meneruskan siasatan sehingga selesai, sama ada laporan polis yang sudah dibuat sebelum ini ditarik balik ataupun tidak.

“Polis turut menjalankan siasatan secara terperinci berhubung dakwaan video seks dan gambar mangsa bersama suspek yang dikatakan dirakam pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi, di Tawau, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan kononnya ibu bapa pelajar terbabit menarik balik laporan polis berhubung kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Jumaat lalu, mangsa, pelajar di sekolah sama, ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek.

Semua suspek ditahan direman pada hari yang sama selepas laporan polis dibuat ibu mangsa pada jam 3.30 petang, manakala mangsa pula dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik tempoh reman tamat pada Ahad lalu bagi membolehkan mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berakhir 28 November ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *