Penunggang Motosikal Maut Dilanggar Dua Kali Di Jalan Papar

Keadaan motosikal dinaiki mangsa bersama rakannya selepas dirempuh lori dan Proton Iswara dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Papar – Beaufort, semalam.Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dua kali oleh lori dan kereta dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Papar – Beaufort, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 20-an warga Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng lelaki berusia 20-an juga warga Indonesia cedera dan menerima rawatan di Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki RG bersama pembonceng daripada arah Beaufort menuju ke daerah ini.

“Mangsa yang memakai topi keledar manakala pembonceng tidak memakainya dipercayai berhenti dan motosikalnya dalam keadaan melintang di tengah jalan raya dikatakan hendak masuk ke simpang sebelah kanan.

“Sebuah lori 12 tan dari arah sama cuba mengelak ke kiri bahu jalan sambil menekan brek namun sebelah hadapan kanan lori telah mengenai tepi kanan belakang motosikal mangsa.

“Kesan pelanggaran itu menyebabkan pembonceng terhumban di atas jalan raya sebelah kiri manakala penunggang bersama motosikalnya terhumban di atas jalan raya sebelah kanan (laluan bertentangan) sebelum dilanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng cedera dan menerima rawatan di Hospital Papar.

“Pemandu lori dan Proton Iswara Aeroback terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) trafik untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *