Penjawat Awam Cedera, Kenderaan Dilanggar Pemandu Cuai

Motokar yang rosak di bahagian depan selepas melanggar kereta mangsa.

TAWAU: Seorang penjawat awam cedera selepas kereta yang dipandunya dilanggar oleh pemandu motokar pada jam 5.55 pagi di Batu 12 Jalan Apas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kemalangan berlaku disebabkan pemandu motokar, lelaki berumur 29 tahun memandu secara cuai dengan mengekori terlalu rapat kereta mangsa, wanita berumur 52 tahun.

Tayar kereta mangsa yang tercabut akibat dilanggar dari arah belakang.

“Hasil siasatan mendapati pemandu motokar mengekori rapat dari arah belakang di lorong kiri dan tiba-tiba melanggar sebelum kenderaan mangsa terpusing tiga kali dan terhenti melanggar pembahagi tengah jalan,” katanya dalam kenyataan medianya.

Menurutnya, impak daripada kejadian itu kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian belakang dan tayar belakang sebelah kanan tercabut manakala kenderaan motokar rosak di bahagian depan.

“Mangsa juga cedera pada jari manis kiri selain sakit tulang belakang manakala pemandu motokar sakit bahagian dada. Kedua-duanya kemudian dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk menjalani rawatan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Peraturan 10 LN 166/59 oleh penolong pegawai penyiasat Sarjan Trafik IPD Tawau Razlan Razan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *