Pemegang PSS Tidak Layak Jadi Warganegara Malaysia

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal memberi jaminan setiap pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) tidak akan dipertimbang untuk menjadi Pemastautin Tetap mahupun diberi hak kewarganegaraan.

Beliau turut menegaskan, tiada mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) yang akan diberikan dokumen tersebut kecuali golongan warga asing yang telah memegang Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung, dan Sijil Banci yang dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu sejak tahun 1970-an.

“PSS akan terbatal jika pemegangnya disabitkan kesalahan jenayah atau telah mendapat pasport daripada negara asal.

“Walau bagaimanapun, sebelum sebarang dokumen perjalanan daripada negara asal diperoleh, warga asing ini perlu memegang PSS bagi tujuan rekod keberadaan dan pergerakan semasa berada di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) mengenai usaha kerajaan dalam menangani kebanjiran PATI dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

PSS yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mula dikeluarkan 1 Jun 2020 adalah untuk menyeragamkan kepelbagaian dokuman yang dipegang oleh warga asing di Sabah yang dikeluarkan semasa zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini.

IMM13 diisukan oleh Jabatan Imigresen sejak 1970 kepada pelarian perang kerana Malaysia mengiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Kad Burung-Burung pula dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri pada tahun 1985 dan 1986 oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) manakala Sijil Banci turut dikeluarkan oleh PBS pada 1990 melalui MKN.

Ketua Menteri berkata, PSS yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik pemegangnya itu akan menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Sijil Burung-Burung dan Sijil Banci yang ada sekarang.

Menurut beliau, ketika ini terdapat sebanyak 136,055 dokumen itu di Sabah iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.

Mohd Shafie berkata, berdasarkan jumlah itu, dianggarkan kira-kira 600,000 PSS akan dikeluarkan selepas mengambil kira ahli keluarga seperti isteri atau suami dan anak-anak setiap pemegang ketiga-tiga dokumen asal itu.

“Jumlah itu berdasarkan rekod terkini yang mencatatkan sebanyak 136,055 orang pemegang dokumen IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci. Jumlah itu akan berubah semasa pengemaskinian data selanjutnya berikutan pendaftaran tanggungan juga akan diambil kira.

“Satu pasukan petugas akan ditubuhkan di peringkat negeri yang diketuai Jabatan Ketua Menteri dan terdiri daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi memperincikan mekanisme PSS seterusnya melancarkan operasi,” katanya.

Mengulas tentang pengusiran PATI, kata Mohd. Shafie, sejak 1990 hingga 8 November lalu, sejumlah 587,443 orang PATI telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Katanya, untuk tahun ini, sehingga 8 November seramai 9,419 orang PATI telah diusir keluar.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *