Lelaki Ditahan Selepas Terlibat Kemalangan Maut Di Jalan Beaufort – Menumbok

LELAKI TERLIBAT KEMALANGAN MAUT DITAHAN

BEAUFORT: Seorang lelaki yang melarikan diri selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar penunggang motosikal lain sehingga maut di Kilometer 32, Jalan Beaufort – Menumbok, di sini, Isnin lalu, akhirnya ditahan polis.

Suspek warga asing berusia 32 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan itu ditahan polis di Kampung Siaun, Menumbok, jam 4.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata kemalangan berlaku ketika mangsa Sideh Masun, 70, yang juga pesara polis menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Menumbok ke Beaufort dan suspek yang menunggang motosikal SM Sport juga dari arah sama.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila suspek dipercayai cuba memotong motosikal ditunggang mangsa yang berada dihadapan.

“Ketika itu mangsa cuba menghampiri garisan tengah pembahagi jalan untuk membelok masuk ke simpang jalan di sebelah kanan lalu suspek tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal mangsa,” katanya menerusi kenyataan media.

Azmir berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mereka terjatuh di atas jalan raya dan mangsa yang parah dibahagian dalaman kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), Kota Kinabalu, jam 10.39 pagi semalam.

“Suspek yang mengalami cedera di tangan dan kaki kiri bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian suspek yang memotong secara berbahaya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *