Hajiji Mahu PSS Dikaji Semula

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Hajiji Noor berpendapat Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan dikeluarkan mulai Jun 2020 perlu dikaji semula.

Ini berikutan timbul kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan Sabah terhadap pelaksanaan dasar itu yang dilihat seolah-olah menggalakkan kemasukan rakyat asing ke negeri ini.

“Kita mesti mempunyai satu dasar tegas supaya kemasukan rakyat asing dapat dibendung dan mereka merasa takut untuk datang serta masuk ke Sabah secara haram.

“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mesti mendengar pendapat rakyat dalam perkara ini. Apa rakyat mahu ialah individu masuk secara haram mesti dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

PSS adalah untuk menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Tiga dokumen itu kebanyakannya dikeluarkan kepada warganegara Filipina iaitu kad IMM13 bagi warga asing berstatus pelarian, Sijil Banci ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Kad Burung-Burung yang dikeluarkan pada 1970 hingga 1990an.

PSS dikeluarkan bagi meningkatkan penguatkuasaan sekali gus memastikan rekod warga asing di Sabah berpusat serta diseragamkan dan ia hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Hajiji berkata jika warga asing mahu bekerja di Sabah, maka mereka boleh masuk secara sah dengan membawa dokumen yang telah diproses dan diperakui oleh pihak berwajib.

“Kita semua faham bahawa Sabah memerlukan tenaga kerja ramai untuk menjayakan pembangunan negeri dalam pelbagai sektor termasuk infrastruktur dan perladangan. Namun, kita tidak boleh melaksanakan satu dasar yang tidak disukai rakyat.

“Satu dasar seolah-olah dipaksa untuk mereka terima dan ini akan mengganggu kesejahteraan hidup rakyat yang sentiasa dibelenggu dengan kebanjiran warga asing yang masuk secara haram ke Sabah,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *