Cadangan Pendekkan Tempoh PSS Beri Kesan Kekurangan Tenaga Buruh

KOTA KINABALU, 20 Nov: Cadangan memendekkan tempoh Pas Sementara Sabah (PSS) daripada tiga tahun kepada setahun akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau bagaimanapun berkata cadangan itu akan memberi kesan kekurangan tenaga buruh terutama dalam sektor perladangan khususnya selepas pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur.

“Kita tahu mereka bukan rakyat Malaysia, tetapi bagaimana kita memastikan mereka ini boleh bekerja dan mereka perlu mempunyai dokumen yang memerlukan kita bekerjasama dengan Konsul Jeneral Indonesia dan kedutaan Filipina supaya boleh diberikan permit kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) yang memberi cadangan agar PSS yang bakal dilaksanakan pada 1 Jun tahun depan dipendekkan tempoh kepada setahun.

Pada 6 Sept lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun 2020.

PSS adalah untuk menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *